Friday, November 4, 2011

Selamat menyambut Aidil Adha…

Selamat menyambut Aidil Adha…

‘’ La baikallah humma labaik… labaikkala sharikala kalabaik.. innal hamda wanikmata latawalmulk lasharikala .. ’’
Aidil Adha datang lagi. Aidil Adha yang membawa mesej tentang Cinta dan Pengorbanan menjengah kita lagi. Maka dikesempatan yang terbaik ini, kepada seluruh umat Islam, walau dimana sahaja anda berada Selamat Menyambut Aidil Adha. Semoga kehadiran Aidil Adha kali ini lebih bererti dan membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita semua sebagai hamba Allah yang melata diatas muka bumi ini. Semoga taufiq dan hidayah serta rahmat dan keredhaanNya sentiasa menaungi kehidupan kita semua.
Aidil Adha adalah sebagaimana yang telah diketahui umum adalah sempena memperingati peristiwa yang menunjukkan betapa besarnya cinta dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan kewajipannya sebagai hamba Allah dalam perjuangannya untuk meraih redha Illahi dan tidak ketinggalan juga bagaimana hebatnya kerelaan dan kesabaran Nabi Ismail AS dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Begitu tinggi sekali nilai cinta dan pengorbanan yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim AS. Kesediaannya untuk mengorbankan anaknya sendiri demi kecintaannya terhadap Allah SWT dalam mujahadahnya untuk mencari keredhaan Allah SWT menjadi inspirasi dalam menghayati Aidil Adha. Di satu sisi yang lain pula peristiwa ini juga menunjukkan bagaimana tingginya pengabdian seorang anak terhadap orang tuanya sehingga sanggup dikorbankan demi memenuhi perintah sang pencipta yang maha berkuasa. Maha Suci Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu melainkan untuk kita berfikir dan merenung tentang kebesaranNya.
Alangkah indahnya sekiranya peristiwa ini mampu dihayati dan dijadikan iktibar serta inspirasi kepada seluruh umat Islam dalam menunaikan kewajipan sebagai seorang khalifah dan hamba Allah diatas muka bumi ini. Bayangkan betapa indahnya dunia yang kita huni hari ini sekiranya kita memiliki ummah yang mempunyai jiwa yang besar dan nilai-nilai mulia yang agung seperti Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Sudah pasti dunia yang ada pada hari ini adalah sebuah dunia yang indah dan selesa untuk didiami. Sebuah dunia yang menjadi medan kepada setiap warganya untuk menampilkan pengabdian yang hakiki dalam perjuangan untuk menagih cinta dan redha Illahi. Sesungguhnya pengabdian itu satu perjuangan. Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Berkorban dan terkorban, itulah resam dalam pejuangan.
Malangnya pada hari ini inspirasi Aidul Adha hanya indah meniti dibibir para-para pendakwah dan penceramah-penceramah agama sahaja. Enak dan lunak sebagai halwa telinga kepada pendengar-pendengarnya. Menjadi dengungan dalam majlis-majlis untuk merayakan Aidul Adha. Sekadar itu sahajalah penghayatannya. Tidak mampu untuk diterjemahkan lebih jauh dari itu.
Saban tahun hanya lembu dan kambing sahaja yang mampu kita korbankan sebagai tanda menyahut seruan Aidul Adha. Apakah hanya lembu dan kambing sahaja yang sepatutnya dikorbankan untuk menyahut seruan Aidul Adha atau pun ia sebenarnya menuntut pengorbanan yang jauh lebih besar dari itu. Mungkin kerana kita tidak pernah bertanya kepada diri kita maka kita tidak pernah menemukan jawapannya. Apakah pengorbanan yang sebenar yang dituntut daripada kita untuk memenuhi seruan Aidul Adha.
Kita tidak pernah bertanya kepada diri kita apalagi yang sanggup kita korbankan untuk meraih cinta Illahi selain dari lembu dan kambing. Mungkin ada baiknya sekiranya kita mulai bertanya kepada diri kita untuk menguji sejauh mana kesanggupan kita untuk berkorban dalam usaha kita untuk meraih cinta dan redha Illahi. Bertanyalah kepada diri kita, sanggupkah kita pertaruhkan jawatan yang kita sandang, harta-harta yang kita miliki, pengaruh yang kita punyai kerana Allah. Kerana agamaNya dan kerana hamba-hambaNya? Pernahkah kita bertanya kepada diri kita apakah cinta kita kepada Allah melebihi cinta kita kepada dunia atau apakah cinta kita kepada dunia melebihi cinta kita kepada Allah. Renungkanlah…
Hari ini, walau pun umat Islam sudah ramai, bilangannya sudah mencecah 1.5 billion diseluruh dunia namun semakin hari umat Islam semakin lemah. Semakin berpecah belah. Sudah menjadi umpama buih-buih dilautan. Banyak tetapi rapuh. Mereka lemah mereka rapuh bukan kerana mereka tidak memiliki kuasa atau tidak memiliki kekayaan atau tidak menguasai teknologi tetapi mereka lemah kerana mereka memilih untuk mencintai dunia daripada mencintai Allah.
Sesungguhnya kecintaan umat pada hari ini terhadap dunia sangat luar biasa. Sehingga menyebabkan mereka menjadi takut untuk mati. Takut kehilangan dunia. Takut kehilangan pangkat, harta dan juga keluarga. Pangkat, harta dan keluarga adalah segala-galanya bagi mereka.
Agama sekadar dijadikan alat untuk meraih sokongan dan mengumpulkan kekayaan. Agama sudah tidak menjadi pedoman dalam hidup mereka. Sekularisme dan kapitalisme yang telah mendasari pemikiran mereka. Sebab itu mereka menjunjung dan mengagung-agungkan perkara-perkara yang bersifat fizikal dan material.
Pemikiran, nilai, budaya dan gaya hidup dari barat jadi amalan. Kesemuanya diimpot dari barat dan amalkan tanpa rasa malu dan rasa bersalah. Apatah lagi untuk merasa berdosa. Amalan gaya hidup dari barat ini bukan sahaja menjadi amalan oleh mereka-mereka yang jahil agama malahan oleh mereka-mereka yang kononnya bijak pandai dalam soal-aoal agama.
Amalan-amalan dan budaya dari barat ini diterapkan dengan nilai-nilai islam kerana kononnya apabila adanya penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan-amalan dan budaya tersebut ianya sudah halal untuk diamalkan. Maka wujudlah segala macam mekanisme untuk menghalalkan segalanya seperti perbankan Islam, takaful, tabung haji, pajak gadai Islam, halal-hub, fesyen muslimah dan berbagai-bagai lagi produk, mekanisme dan system yang telah dijenamakan dengan Islam.
Semua ini sudah diterima sebagai sesuatu yang halal dan Islamik walaupun dasarnya bukanlah iman dan taqwa sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW tetapi adalah sekuler-kapitalisme. Sebab itu sehingga ke hari ini kesempurnaan Islam dan keindahan Islam itu tidak dapat dirasai. Jauh sekali daripada mensejahterakan umat. Ini kerana ianya dibangunkan dengan niat yang salah dan cara yang salah. Jauh menyimpang dari apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Kini, dengan segala macam bencana, krisis dan masalah yang dialami umat mungkin sudah sampai masanya bagi kita umat Islam untuk bermuhasabah diri. Mencari jawapan dan kekuatan dari dalam diri sendiri. Kita tidak bolih lagi menyandarkan harapan dan tanggung-jawab untuk mendaulatkan Islam kepada sesiapa pun sama ada pemimpin politik, para ulamak mahu pun tokoh-tokoh korporat yang sedia ada pada hari ini.
Ini kerana kewajipan itu seharusnya tertakluk dibahu setiap umat Islam yang mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhamad itu pesuruh Allah.
Setiap umat Islam yakin bahawa Islam adalah agama yang syumul (sempurna) dan menyeluruh. Islam mengatur seluruh kehidupan manusia. Dari soal ibadah, munakahah dan muamalah serta jinayah. Islam mengatur segalanya dan Islam mempunyai semua jawapan kepada setiap permasalahan manusia.
Malangnya, masalah tidak pernah selesai. Semakin hari semakin besar masalah yang menimpa umat. Semakin banyak yang dilakukan yang kononnya untuk kemaslahatan umat semakin jauh umat ini dari menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.
Renungkanlah…. Kenapa bolih jadi begini ? Bukankah Islam adalah agama wahyu. Agama kurnian dari Sang Pencipta yang Maha Mengetahui akan segala keperluan hamba-hambaNya. Ianya diturunkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. Untuk menjamin kesejahteraan manusia baik didunia mahupun diakhirat. Dan ianya telah dicontohkan dari segi pelaksanaan dan amalannya oleh Nabi Muhamad Rasulullah SAW.
Sesungguhnya hanya kepada Allah segala tujuan, segala harapan dan sumber kekuatan. KepadaNya lah kita memohon semoga Aidil Adha kali ini lebih mendekatkan kita kepadaNya. Hanya dengan kedekatan kepadaNya sahajalah yang mampu memberikan kita segala kekuatan dan kemampuan. KepadaNya lah kita menyerah diri. Sesungguhnya Allah tidak perlukan kita tetapi kitalah yang perlukan Allah. Begitu juga Islam. Islam tidak perlukan kita tetapi kitalah yang perlukan Islam demi kesejahteraan kita didunia dan diakhirat.
Semuga rahmat dan keampunanNya dapat memberikan kita segala kekuatan yang kita perlukan demi menghadapi masa depan yang semakin mencabar. KepadaNya jualah kita kembalikan segala urusan. Sesungguhnya tiada sesiapa yang lebih mengetahui dan lebih berkuasa selain Dia.
Ampuni segala dosa-dosa kami Ya Allah, terima taubat kami dan terimalah amal ibadah kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… Amin…amin

No comments: