Sunday, November 27, 2011

Jangan cepat melatah, cermin diri kita dulu…

Saya tertarik dengan lapuran berita yang ditulis oleh Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan yang bertajuk Lagi Islam dihina dalam aknbar Mingguan Malaysia, Ahad 27 November 2011.

Beliau melapurkan tentang beberapa individu rakyat Singapura yang mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Dan saya tertarik dengan kenyataan seorang anggota tentera Singapura Christian Elab Rahman yang berbunyi ‘’ Islam bukan suatu agama tetapi doktrin politik authoritarian yang dikuatkuasakan secara paksa.”
Kenyataan tersebut menarik perhatian saya dan mencuit intelektuil saya. Kerana itu saya merasa terpanggil untuk mengulas kenyataan tersebut.

Kepada seluruh umat Islam saya berharap kita janganlah melatah dan cepat melenting dengan kenyataan-kenyataan seperti ini. Kenyataan seperti ini tidak menghina Islam. Sebaliknya, kenyataan seperti ini lahir dari kedangkalan pemikiran dan kecetekan ilmu sahaja. Gagal untuk membezakan antara agama dan doktrin idealogi pemikiran manusia.
Saya tidak merasa hairan kenyataan seperti ini keluar dari mului orang bukan Islam sedangkan doktrin dan premis yang sama melalui pemerhatian saya dikongsi oleh ramai umat Islam. Walaupun mereka tidak mengatakannya secara berterus terang namun sikap dan tindakan mereka dalam menanggapi persoalan hidup mencerminkan doktrin yang menjadi pegangan dan anutan hidup mereka.

Adalah salah untuk mengatakan Islam bukan sebuah agama. Agama menurut kefahaman umum adalah pedoman atau cara hidup. Dan agama yang benar yang bolih dijadikan pedoman atau cara hidup mestilah mengandungi 3 komponen penting iaitu, aqidah, syariat dan akhlaq.

Aqidah membicarakan soal ketuhanan dan keimanan. Mengenalkan kita kepada Tuhan yang mencipta sekelian alam dan semua yang ada didalamnya. Kenal dalam ertikata mengenal yang sebenar-benarnya agar kita mengenal siapa diri kita dan tidak menyekutukannya

Syariat adalah merupakan kaedah atau cara, peraturan dan hukum hakam mengenai sesuatu perkara.

Akhlaq pula membahas soal pembentukkan moral, nilai dan sahsiah manusia sebagai hamba Allah diatas muka bum ini.

Tanpa tiga komponen penting ini sesuatu pedoman itu tidak bolih dianggap sebagai agama apatah lagi untuk digunakan sebagai cara hidup dan dijadikan sistem dan peraturan untuk mengatur kehidupan manusia. Oleh kerana itu hanya Islam sahaja satu-satunya agama yang ada didunia ini. Dulu, kini dan selamanya.

Sesungguhnya junjungan besar kita Nabi Muhamad Rasulullah SAW bukanlah membawa agama baru. Sebaliknya baginda hanyalah meneruskan tugas-tugas para Nabi dan Rasul sebelum baginda. Baginda menjadi Rasul yang terakhir dengan membawa misi untuk menyempurnakan syariat Islam.

Para Nabi dan Rasul sebelum baginda hanyalah membawa misi aqidah dan akhlaq. Sebab itu Allah SWT memerintahkan kepada umat manusia agar sentiasa mengikuti para Nabi dan Rasul-Rasulnya yang diturunkan untuk memperbaiki urusan agamaNya. Apabila turun sahaja seseorang Nabi atau Rasul maka secara otomatis terbatallah syariat Nabi atau Rasul yang sebelumnya. Dan Jesus Christ atau Nabi Isa AS yang dikhabarkan akan diturunkan semula tidaklah membawa agama yang lain melainkan mengamalkan syariat Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhamad SAW.

Setelah kedatangan Nabi Muhamad SAW maka sempurnalah Islam itu sebagai sebuah agama yang diredhai oleh Allah SWT untuk dijadikan sebagai pedoman atau cara hidup umat manusia diatas muka bumi ini.

Ajaran Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia dari soal-soal ibadah, kekeluargaan, politik, ekonomi, kewangan, pendidikkan, ketenteraan dan soal-soal jenayah. Islam juga memberikan perincian yang jelas mengenai kewajipan peribadi dan kewajipan terhadap masyarakat. Mengajar manusia mengenai hubungannya dengan sang penciptanya, hubungannya dengan sesama manusia serta hubungannya dengan alam.
Islam agama wahyu. Bukannya doktrin ataupun idealogi rekaan manusia sebagaimana komunisme, demokrasi, kapitalisme dan bermacam-macam lagi isme-isme yang menyesatkan manusia. Dan hari ini, ianya terbukti membawa kerosakkan dan hanya akan membawa kehancuran kepada umat manusia.

Apa salahnya Islam menjadi doktrin politik yang authoritarian ? Bukankah Islam mendaulatkan kekuasaan Allah SWT selaku pemilik dan pemerintah yang mutlak kepada semua mahkluk dan sekelian alam. Dan bukankah Allah SWT memang berhak didaulatkan?
Tidak seperti Demokrasi yang mendaulatkan manusia. Manusia yang sepatutnya menjadi hamba didaulatkan untuk menjadi Tuan. Memberikan hak yang sama rata kepada semua orang. Dalam Demokrasi tidak ada bezanya antara orang baik dan orang jahat, antara orang bodoh dan orang pandai, antara ahli maksiat dan orang yang warak -- masing-masing mempunyai satu undi.

Benarkah tidak ada perbezaan diantara seorang Professor dengan seorang lepasan sekolah menengah ? Dan benarkah tidak perbezaan antara seorang penjenayah dengan seorang yang patuh kepada undang-undang ? Dimana logik dan rasionalnya pemikiran yang seperti ini? Tidakkah dangkal pemikiran yang seperti ini ?

Dengan doktrin dan fahaman yang seperti ini mampukah Demokrasi melahirkan pemimpin yang baik, amanah dan adil apatah lagi membentuk sebuah kerajaan yang baik dan adil dan yang menghormati hak segenap lapisan masyarakat ?
Namun demikian tidak sedikit bilangan umat Islam yang berkongsi dan menganut doktrin atau pun berfikir dalam premis yang sama seperti anggota tentera Singapura itu. Maka tidak hairanlah apabila Islam telah dipojokkan dari amalan dan aktiviti kehidupan walaupun dinegara yang didominasi oleh umat Islam.

Segala yang datang dari barat dianggap baik dan diambil untuk dijadikan model membina kehidupan. Baik dalam politik, ekonomi, kewangan, pendidikkan, ketenteraan, undang-undang dan sebagainya. Cara hidup Hollywood menjadi ikutan. Dan Islam hanya diamalkan sebagai upacara ritual sahaja.

Begitu jauhnya umat islam hari ini sudah tersesat. Percaya kepada Allah hanyalah akuan dibibir sahaja. Hakikatnya tidak. Kalau benar kita percayakan Allah masakan kita tolak semua sistem dan peraturannya. Kita engkar segala kehendak, perintah dan laranganNya. Mengapa kita tidak berusaha untuk mendaulatkan Allah SWT ? Mendaulatkan segala sistem dan peraturanNya sebagai cara hidup? Itukah yang dinamakan percaya dengan Allah ? Dan kalau kita sudah tidak percayakan kepada Allah kita hendak percaya kepada siapa lagi ?

Bermacam-macam malapetaka dan masalah yang timbul akibat dari mengamalkan sistem idealogi manusia. Dunia tidak pernah sunyi dari pelbagai konflik dan krisis. Tidakkah kita sedar bahawa semua ini terhasil akibat dari mengamalkan sistem yang salah. Sampai bila kita hendak terus melakukan kesalahan ? Dan sampai bila baru kita nak sedar ? Cerminlah dulu diri sendiri sebelum kita melatah dan marahkan orang lain…

No comments: