Tuesday, November 15, 2011

Nota buat Datuk Bandar Shah Alam

Pada jam 11 pagi hari Rabu 16-11-2011, saya telah meletak kereta dihadapan bangunan Komplek PKNS Shah Alam. Kemudian saya memasuki bangunan tersebut untuk membuat deposit wang di mesin ATM Affin Bank. Pekerjaan itu mengambil masa sekitar 5-7 minit. Atau paling lama pun 10 minit kerana tidak ada sesiapa waktu itu dan saya tidak perlu berbaris.

Setelah itu saya keluar dan mendapati kereta saya sudah tiada. Saya terus ketempat saya meletek kerete dan mengambit resit yang ditampal pada kon yang diletakkan disitu yang memberi arahan agar saya pergi ke kaunter MBSA untuk membuat pembayaran denda.
Untuj pengetahuan Ybhg Datuk, saya telah pun membuat pembayaran tersebut. Setelah membuat rayuan, saya hanya dikenakan kompaun sebanyak RM 150.00 sahaja. Saya telah pun membayar kompaun dan mengambil kereta saya kembali.

Disini, apa yang saya kesalkan dan tidak memuaskan hati saya adalah kerana jangka masa antara 5 hingga 10 minit yang saya ambil untuk menyelesaikan urusan saya. Ini kerana para penguatkuasa MBSA juga memerlukan sekitar 5-10 minit untuk persiapan bagi menunda kereta saya. Ini bermakna sewaktu saya meletakkan kereta mereka sudah pun memerhatikan saya. Persoalan saya, mengapa mereka tidak menegur perbuatan saya tetapi mengambil keputusan untuk menunda kereta saya.

Mengapa mereka tidak mengambil kaedah yang lebih berhemah dan tidak membebankan saya tetapi memilih untuk mengambil kaedah yang lebih keras dan bersifat menghukum terhadap saya ? Apakah dengan mengambil kaedah yang lebih berhemah itu akan mengurangi kuasa mereka atau bolih menyebabkan karisma mereka sebagai penguasa itu menurun ?

Saya kurang faham dengan neraca pertimbangan mereka. Kalau ditanya kepada mereka, alasannya adalah kerana mereka hanya mengikut arahan atasan mereka. Kalau begitu ini bermakna atasan-atasan merekalah yang tidak berhati perut dan cuba untuk menunjuk-nunjukkan kuasa kepada kami rakyat-rakyat kerdil ini.

Saya akui Rm 150.00 tidak besar. Tetapi buat orang-orang kerdil seperti saya adalah cukup besar maknanya terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat ini. Dan dengan mengambil waktu hampir 2 jam untuk menguruskan segala-galanya, ini amat membebankan buat orang-orang seperti kami.

Dimanakah akal dan budi bicara pegawai-pegawai Ybhg Datuk ? Kenapa tidak mereka menggunakan akal dan budi bicara sewaktu menjalankan tugas? Apatah lagi mereka ini kebanyakkannya orang Melayu dan beragama Islam. Saranan saya, gunakanlah akal yang waras dan bijaksana dalam menjalankan tugas. Fikirkanlah tentang masalah rakyat.
Alangkah baiknya sekiranya mereka ini menjalankan tugas dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Menggunakan akal dan budi dengan bijaksana sebagaimana sewajarnya sebagai seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Bukan hanya melaksanakan perintah dan arahan seperti layajnya robot.

Namun untuk membangun kesedaran dan keinsafan bukanlah mudah. Saya sedar perkara itu. Ianya harus melalui satu kaedah ataupun proses yang berterusan. Ianya harus diterapkan dalam diri setiap kaki tangan jabatan secara berterusan untuk mendapatkan hasil yang diharapkan.

Sebagai pemimpin tertinggi dalam jabatan ini, ada;lah menjadi tugas dan tanggung-jawab Ybhg Datuk untuk merangka dasar dan program-program tersebut. Program dan latihan yang menerapkan nilai-nilai murni agama kepada kakitangan jabatan disemua peringkat. Membina semangat dan kesedaran yang tinggi untuk berbakti kepada rakyat untuk mencari keredhaan Allah SWT adalah lebih mulia dari sekadar bekerja kerana gaji dan pangkat.

Pengabdian yang tulus hanya mampu dilakukan dengan iman, taqwa dan akhlak yang baik. Penerapan nilai-nilai agama adalah proses yang berterusan. Tanpa nilai-nilai tersebut apalah yang dapat diharapkan oleh rakyat dari kakitangan jabatan seperti mereka ini. Orang-orang yang tidak pernah merasakan bahawa tugas dan tanggung-jawab yang ada dibahu mereka adalah sebenarnya amanah daripada Allah SWT kepada mereka. Dan Allah akan senantiasa memehatikan mereka.

Mereka seharusnya lebih takutkan Allah melebihi ketakutan terhadap atasan-atasan mereka. Tanpa nilai dan akhlak yang sebegini mereka hanya akan menghancurkan rakyat dan masyarakat bukan mensejahterakan mereka. Lihat disekeliling kita. Ini yang sedang berlaku. Kita sudah diambang kehancuran. Hanya sekadar menunggu masa sahaja.

Masalah orang muda kerana mereka tidak memiliki adab namun masalah orang dewasa lebih parah lagi kerana mereka tidak memiliki akhlak. Sebab itu gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa semakin berleluasa. Ini belum lagi dengan kerenah kakitangan jabatan yang menjalankan tugas dengan sombong dan angkuh dan berbagai-bagai lagi.

Ini bukan masalah adab tetapi masalah akhlak. Sekiranya perkara-perkara seperti ini tidak dipantau dan diberi perhatian yang serius lama kelamaan ia akan menjadi barah yang akan menghancurkan masyarakat.

Gejala-gejala tersebut sebenarnya sudah pun membarah didalam masyarakat. Semakin hari rakyat semakin terseksa dibelengu dengan keadaan-keadaan seperti ini. Keadan semakin hari bukan semakin membaik tetapi semakin parah. Rakyat sudah kehilangan arah. Tidak tahu hendak mengadu kemana.

Kasihanilah rakyat kerdil. Kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian adalah hak mereka. Berikan lah hak tersebut kepada mereka. Dan inilah tugas dan tanggung-jawab pemerintah dan penguasa. Percayalah, bahawa semua ini akan dipertanggung-jawabkan di hari akhirat nanti terhadap semua pemerintah dan penguasa oleh Allah SWT. Tuhan yang menjadi pemerintah kepada semua pemerintah.

Laksanakanlah transformasi sebagaimana yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Laksanakanlah sekarang. Kita sudah tidak mempunyai banyak masa. Jadikanlah Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman. Mintalah petunjuk dan bimbingan dari para Ulamak yang jujur dan ikhlas. Mudah-mudahan kita semua akan diberkati Allah dan diredhaiNya. Insyaallah.

No comments: