Sunday, October 30, 2011

Konferen Negara Islam

Pada hari ini saya telah menghadiri sebuah konferen yang bertajuk ‘ Negara Islam’ yang dianjurkan oleh Hizbut Tahrir di Hotel Nouvel, Sungai Besi. Majlis yang dihadiri oleh sekitar 1000 orang peserta pada anggaran saya.
Hizbut Tahrir adalah sebuah organisasi yang telah ditubuhkan di Jerusalem pada tahun 1953 oleh Sheikh Takiyuddin Al Nabhani untuk berdakwah dan membangunkan kesedaran umat Islam mengenai system khilafah Islam.
Sejak ia ditubuhkan ia telah berjaya menubuhkan cawangannya dilebih 40 buah negara termasuk Malaysia.
Kepada sahabat-sahabat didalam Hizbut Tahrir saya mengucapkan syabas dan teruskanlah perjuangan untuk menyedarkan umat Islam diseluruh dunia tentang peri pentingnya membangunkan kembali system khilafah Islam.
Setelah jatuhnya Empayar Othmaniah di Turki pada tahun 1923, sebahagian besar ulamak waktu itu telah mengeluarkan fatwa bahawa mulai daripada saat itu maka wajiblah keatas tiap-tiap orang Islam untuk membangunkan kembali system khalifah Islam.
Pada hari ini, setelah hampir satu abad semenjak kejatuhan empayar Othmaniah semakin jelas bahawa system Demokrasi yang berpaksikan kepada secular-capitalisme telah gagal memakmurkan umat manusia. Semakin hari semakin menghumbankan manusia kelembah kehancuran.
Amerika Syarikat sendiri yang berperanan sebagai promoter kepada system demokrasi dan kapitalisme sedang menuju kehancuran akibat krisis ekonomi dan kewangan. Dan ini sedang diikuti satu persatu oleh Negara-negara di Eropah.
Apa yang sedang berlaku ini jelas menunjukkan bahawa idealogi manusia tidak berupaya untuk membawa umat manusia kearah keadilan dan kemakmuran. Sistem yang dianuti ini hanya membawa lebih banyak kerosakkan berbanding kebaikan. Berbagai-bagai krisis dan masalah muncul akibat dari perlaksanaan dan amalan system tersebut. Krisis politik, ekonomi dan kewangan, krisis social dan juga masalah alam sekitar.
Sistem yang diamalkan hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja. Sedangkan sebahagian besar dari kita hanya menjadi alat dan mangsa kepada golongan tersebut.
Kini sudah sampai masanya untuk umat Islam kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Kembali mengamalkan ajaran-ajaran Islam diseluruh aspek kehidupan. Terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan kerana ianya adalah teras kepada kehidupan manusia yang bermasyarakat.
Sudah sampai masanya untuk umat Islam bersatu dalam satu jamah yang besar bagi menghadapai cabaran yang paling getir dalam sejarah manusia. Ini kerana periode 2010 – 2020 adalah merupakan periode yang paling mencabar.
Ini kerana krisis ekonomi dan kewangan yang sedang merebak keseluruh dunia ini bakal membawa kita semua kekancah peperangan. Peperangan dunia ke 3 kelihatannya tidak mampu dielakkan. Banyak pihak yang merasakan bahawa hanya peperangan sahaja yang dapat menjadi jawapan yang terbaik kepada segala krisis yang sedang melanda.
Pemimpin yang sesuai perlu dicari untuk menyatukan ummah. Wadah yang sesuai juga perlu dibina sebagai platform penyatuan ummah. Berusahalah kearah tersebut kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubah nasibnya.

Hoben Jang Hoben

Hoben Jang Hoben

Tahniah kepada skuad bolasepak Negeri Sembilan kerana Berjaya menjulang Piala Malaysia pada tahun ini denga mengalahkan Terengganu 2-1 di Stadium Shah Alam.
Sebuah perlawanan bolasepak yang menarik telah ditonton oleh lebih kurang 70,000 peminat sukan bolasepak dan penyokong dari kedua-dua pasukan. Dan sebahagian besarnya adalah orang melayu yakni umat Islam. Sesak seketika bandaraya shah alam dengan kehadiran penyokong-penyokong dari kedua-dua pasukan.
Di stadium yang sama seminggu sebelum itu iatu pada 22-11-2011 berlansung satu perhimpunan yang diberi nama sebagai Perhimpunan Sejuta Umat untuk membincangkan masalah murtad dinegara ini.
Perhimpunan yang diuar-uarkan disokong oleh banyak NGO-NGO umat Islam dinegara ini ternyata hanya berjaya mengumpulkan tidak lebih dari 10,000 orang.
Berdasarkan kepada dua perhimpunan ini yang diadakan ditempat yang sama dan dihadiri oleh orang melayu yang juga umat Islam.. saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang menjadi keutamaan orang melayu dan umat Islam masa kini ?
Untuk bolasepak (hiburan) mereka sanggup menyewa bas dan datang dari jauh serta membeli tiket yang bernilai RM 50. Mereka sanggup bersusah payah dan berbelanja besar hanya untuk menyaksikan 22 orang berebut sebiji bola ditengah padang. Yang pada akhirnya sebahagian mereka pulang dengan kegembiraan dan sebahagiannya pula pulang dengan kekecewaan.
Tetapi untuk sebuah program yang membincangkan tentang masalah akidah umat Islam walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran mereka tidak sanggup datang.
Begitulah sikap umat Islam masa kini. Antara agama dan hiburan….mereka lebih memilih hiburan. Jangan salahkan sesiapa sekiranya sekira umat Islam semakin hari semakin lemah walaupun bilangan mereka semakin hari semakin bertambah ramai.

Thursday, October 27, 2011

Kebangkitan Arab bukan kebangkitan Islam.

Gelombang kebangkitan rakyat di Afrika Utara dan Asia Barat menyaksikan tumbangnya satu demi satu regim yang memerintah di negara-negara tersebut. Dimulai dengan regim Ben Ali di Tunisia kemudian diikuti oleh regim Hosni Mubarak di Mesir dan yang terbaru regim Muamar Gadaffi di Libya.
Kolonel Muamar Gadaffi seorang pemimpin yang unik dan berkarisma yang telah mewarnai dunia politik antarabangsa dengan berbagai kerenah dan kontroversi akhirnya ditangkap dan ditembak mati oleh tentera-tentera pemberontak. Jenazahnya diaibkan dan dipermalukan seolah-olah sepanjang pemerintahannya selama 42 tahun beliau tidak pernah berjasa kepada rakyat Libya. Sedangkan pada hakikatnya, jasanya cukup besar kepada rakyat Libya dan umat Islam diseluruh dunia.
Dan kemungkinan setelah ini yang bakal menyusul nanti adalah regim yang sedang memerintah di Yaman dan di Syria.
Walau apa pun sebab dan alasannya disebalik kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya regim-regim yang dianggap diktator itu, yang pentingnya peristiwa tersebut bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW mengenai lima fasa pemerintahan yang bakal dilalui oleh umat akhir zaman ini.
Rasulullah SAW bersabda:
“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fitnah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman penindasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekhalifahan (Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”
(Riwayat Ahmad)

Peristiwa-peristiwa besar ini memberikan isyarat yang jelas kepada seluruh umat Islam bahawa perkataan Rasulullah itu benar. Dan janji-janji Allah itu benar.
Namun demikian, satu perkara yang perlu difahami dalam menilai peristiwa-peristiwa yang berlaku ialah kebangkitan masyarakat Arab bukanlah kebangkitan Islam.
Kebangkitan masyarakat Arab ini tidak membawa makna yang besar kepada Islam dan seluruh umat Islam. Untuk apa pemerintah berubah kalau system pemerintahan yang dianuti tidak diubah. Sistem ekonomi dan kewangannya juga tidak berubah.
Ini kerana segala masalah yang berlaku didunia pada hari ini adalah disebabkan kerana kita menganuti system yang salah. Baik dari segi politik, ekonomi dan social.
Fahaman sekulerisme yang mengasingkan agama dari system kehidupan menjerumuskan umat manusia ke lembah kesesatan dan kehancuran. Berbagai-bagai krisis berlaku diseluruh dunia. Tidak kira sama ada krisis politik, ekonomi, kewangan, sosial mahu pun krisis alam sekitar. Sekiranya dianalisa dengan teliti dan komprehensif ianya adalah disebabkan oleh system yang dianuti. Ini kerana system yang diamalkan sekarang memberikan ruang dan peluang untuk mengeksploitasi nafsu manusia.
Oleh itu janganlah kita keliru antara kebangkitan masyarakat Arab dengan kebangkitan Islam. Ini kerana Islam tidak dibangunkan dengan pemberontakkan, rampasan kuasa atau peperangan. Bukan juga dengan jalan Demokrasi. Apatah lagi untuk membangunkan Islam dengan penguasaan ekonomi atau teknologi. Ini kerana Daulah Islamiyah itu akan hanya dapat ditegakkan dan dibangunkan dengan Iman dan Takwa.
Hanya Islam yang dibangunkan dengan iman dan takwa sahaja yang akan dapat menyatukan umat dan mensejahterakan manusia. Dan, hanya iman dan takwa sahajalah yang dapat menterjemahkan kasih sayang Allah kepada seluruh hamba-hambaNya.
Kebangkitan Islam akan dipelopori dan dipimpin oleh sekumpulan umat yang memiliki iman dan taqwa seperti para sahabat dizaman Rasulullah SAW. Tidak cintakan dunia dan tidak takutkan mati. Matlamat mereka hanyalah satu. Untuk mencari keredhaan Allah.

Tuesday, October 25, 2011

Mampukah aqidah umat Islam masa kini diselamatkan

Sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog ini. Walaupun keinginan untuk menulis itu masih kuat tetapi rasa malas tidak dapat saya atasi. Saya juga tidak tahu mengapa. Mungkin kerana motivasi diri saya agak menurun atas beberapa perkara yang berlaku ke atas diri saya. Apa pun Perhimpunan sejuta umat yang berlansung di Stadium Shah Alam pada 22hb Okt 2011 menarik perhatian saya. Dan ini menyebabkan saya terasa ingin menulis kembali. Mungkin kerana isu yang tampil cukup dekat dengan hati saya, iaitu soal aqidah umat Islam hari ini.

Saya berharap perhimpunan sejuta umat ini bukanlah yang pertama dan terakhir. Biarlah ia menjadi satu permulaan. Langkah pertama yang menjadi pemangkin untuk mengembleng kesatuan umat bagi mencapai visi akhir zaman. Kebangkitan Islam dari Timur sebagaimana yang telah disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad Rasulullah SAW. Usaha ini penting bagi mengerakkan dan menyedarkan umat kearah pemurnian aqidah. Bukan sekadar menanggani isu murtad semata-mata.

Isu murtad bukanlah masalah besar kerana ianya terang dan nyata. Masalah yang lebih besar adalah kejahilan umat dalam memahami dan melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri. Tanpa sedar kita telah menolak Islam dari kehidupan kita. Baik dalam politik, ekonomi mahupun sosial.

Islam agama wahyu. Dalilnya kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Bukan idealogi manusia. Dengan menerima sekulerisme, demokrasi, capitalisme dan segala macam isme-isme yang lain sebagai cara hidup, kita telah menjerumuskan diri kita didalam kesesatan. Lebih dahsyat lagi kita telah terkeluar dari aqidah Islamiyah tanpa kita sedari. Mohon diampuni Allah segala dosa-dosa kita, kesilapan kita dan kelemahan kita.

Kita dilahirkan kedunia sebagai khalifah Allah. Dan akan dipertanggung-jawabkan diakhirat nanti akan segala amal dan perbuatan kita didunia ini dalam melaksanakan tugas hakiki kita sebagai khalifah Allah.

Sebagai khalifah, kita punya dua peranan yang besar. Yang pertama berdakwah untuk menyebarkan agama Allah dan yang kedua berjihad untuk mempertahankan agama Allah.

Kita dibekalkan dengan Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan kita dalam melaksanakan tugas-tugas kita sebagai khalifah Allah untuk merealisasikan ‘ Amar Ma’aruf Nahi Mungkar ‘ demi kesejahteraan umat didunia dan untuk mendapatkan keredhaan Illahi.

Semenjak kejatuhan Empayar Uthmaniah di Turki pada 1923, umat Islam diseluruh dunia seperti anak ayam kehilangan emak. Bertaburan tanpa arah. Berpecah-belah. Walaupun bertambah ramai tapi makin hari semakin lemah. Semakin hari semakin terpesong jauh dari jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Hanyut dibawa arus dunia. Tenggelam dalam kenikmatan dunia yang sementara yang sememangnya dicipta oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam.

Kita tidak bolih menyandarkan masa depan umat kepada pemimpin-pemimpin politik. Dalam system politik demokrasi yang jadi anutan sekarang, undi adalah segala-galanya. Islam hanya dijadikan alat untuk meraih sokongan umat Islam bagi tujuan untuk mengekalkan kuasa mereka atau ‘ survival ‘ politik mereka.

Amat malang kalau sekiranya kita mempercayai kita mampu membangunkan Islam melalui demokrasi atau pun ekonomi. Islam juga bukan dibangunkan dengan cara memberontak dan menumbangkan regim yang sedia ada sebagaimana yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan selepas ini mungkin di Yaman dan Syria.

Untuk apa kita menukar pemerintah kalau system yang diamalkan tidak ditukar ? Yang kita perlukan bukan peralihan kuasa tetapi perubahan kepemimpinan. Kepemimpinan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rsulullah SAW dan para sahabat.

Islam dibangunkan dengan Iman dan Takwa sebagaimana yang telah sunnahkan. Dengan iman dan takwa lah umat ini akan dapat disatukan. Dan dengan kesatuan itulah yang akan mendatangkan kekuatan dan kehebatan. Hanya dengan iman dan takwa sahajalah pertolongan Allah dapat digapai. Tanpa pertolongan Allah siapalah kita untuk membangkitkan kembali kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dikecapi suatu masa dahulu.

Marilah kita kembali kepada Allah. Belajar mengenalNya. Belajar mengingatiNya dan belajar mencintaiNya sebagaimana yang dikehendakiNya. Murnikanlah aqidah kita. Bersihkanlah pemikiran kita dari segala isme-isme ciptaan manusia. Jangan sesekali kita menyekutukan Allah. Tidak ada dosa yang tidak diampunkan oleh Allah kecuali menyekutukanNya.