Sunday, November 27, 2011

Jangan cepat melatah, cermin diri kita dulu…

Saya tertarik dengan lapuran berita yang ditulis oleh Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan yang bertajuk Lagi Islam dihina dalam aknbar Mingguan Malaysia, Ahad 27 November 2011.

Beliau melapurkan tentang beberapa individu rakyat Singapura yang mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Dan saya tertarik dengan kenyataan seorang anggota tentera Singapura Christian Elab Rahman yang berbunyi ‘’ Islam bukan suatu agama tetapi doktrin politik authoritarian yang dikuatkuasakan secara paksa.”
Kenyataan tersebut menarik perhatian saya dan mencuit intelektuil saya. Kerana itu saya merasa terpanggil untuk mengulas kenyataan tersebut.

Kepada seluruh umat Islam saya berharap kita janganlah melatah dan cepat melenting dengan kenyataan-kenyataan seperti ini. Kenyataan seperti ini tidak menghina Islam. Sebaliknya, kenyataan seperti ini lahir dari kedangkalan pemikiran dan kecetekan ilmu sahaja. Gagal untuk membezakan antara agama dan doktrin idealogi pemikiran manusia.
Saya tidak merasa hairan kenyataan seperti ini keluar dari mului orang bukan Islam sedangkan doktrin dan premis yang sama melalui pemerhatian saya dikongsi oleh ramai umat Islam. Walaupun mereka tidak mengatakannya secara berterus terang namun sikap dan tindakan mereka dalam menanggapi persoalan hidup mencerminkan doktrin yang menjadi pegangan dan anutan hidup mereka.

Adalah salah untuk mengatakan Islam bukan sebuah agama. Agama menurut kefahaman umum adalah pedoman atau cara hidup. Dan agama yang benar yang bolih dijadikan pedoman atau cara hidup mestilah mengandungi 3 komponen penting iaitu, aqidah, syariat dan akhlaq.

Aqidah membicarakan soal ketuhanan dan keimanan. Mengenalkan kita kepada Tuhan yang mencipta sekelian alam dan semua yang ada didalamnya. Kenal dalam ertikata mengenal yang sebenar-benarnya agar kita mengenal siapa diri kita dan tidak menyekutukannya

Syariat adalah merupakan kaedah atau cara, peraturan dan hukum hakam mengenai sesuatu perkara.

Akhlaq pula membahas soal pembentukkan moral, nilai dan sahsiah manusia sebagai hamba Allah diatas muka bum ini.

Tanpa tiga komponen penting ini sesuatu pedoman itu tidak bolih dianggap sebagai agama apatah lagi untuk digunakan sebagai cara hidup dan dijadikan sistem dan peraturan untuk mengatur kehidupan manusia. Oleh kerana itu hanya Islam sahaja satu-satunya agama yang ada didunia ini. Dulu, kini dan selamanya.

Sesungguhnya junjungan besar kita Nabi Muhamad Rasulullah SAW bukanlah membawa agama baru. Sebaliknya baginda hanyalah meneruskan tugas-tugas para Nabi dan Rasul sebelum baginda. Baginda menjadi Rasul yang terakhir dengan membawa misi untuk menyempurnakan syariat Islam.

Para Nabi dan Rasul sebelum baginda hanyalah membawa misi aqidah dan akhlaq. Sebab itu Allah SWT memerintahkan kepada umat manusia agar sentiasa mengikuti para Nabi dan Rasul-Rasulnya yang diturunkan untuk memperbaiki urusan agamaNya. Apabila turun sahaja seseorang Nabi atau Rasul maka secara otomatis terbatallah syariat Nabi atau Rasul yang sebelumnya. Dan Jesus Christ atau Nabi Isa AS yang dikhabarkan akan diturunkan semula tidaklah membawa agama yang lain melainkan mengamalkan syariat Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhamad SAW.

Setelah kedatangan Nabi Muhamad SAW maka sempurnalah Islam itu sebagai sebuah agama yang diredhai oleh Allah SWT untuk dijadikan sebagai pedoman atau cara hidup umat manusia diatas muka bumi ini.

Ajaran Islam meliputi semua aspek kehidupan manusia dari soal-soal ibadah, kekeluargaan, politik, ekonomi, kewangan, pendidikkan, ketenteraan dan soal-soal jenayah. Islam juga memberikan perincian yang jelas mengenai kewajipan peribadi dan kewajipan terhadap masyarakat. Mengajar manusia mengenai hubungannya dengan sang penciptanya, hubungannya dengan sesama manusia serta hubungannya dengan alam.
Islam agama wahyu. Bukannya doktrin ataupun idealogi rekaan manusia sebagaimana komunisme, demokrasi, kapitalisme dan bermacam-macam lagi isme-isme yang menyesatkan manusia. Dan hari ini, ianya terbukti membawa kerosakkan dan hanya akan membawa kehancuran kepada umat manusia.

Apa salahnya Islam menjadi doktrin politik yang authoritarian ? Bukankah Islam mendaulatkan kekuasaan Allah SWT selaku pemilik dan pemerintah yang mutlak kepada semua mahkluk dan sekelian alam. Dan bukankah Allah SWT memang berhak didaulatkan?
Tidak seperti Demokrasi yang mendaulatkan manusia. Manusia yang sepatutnya menjadi hamba didaulatkan untuk menjadi Tuan. Memberikan hak yang sama rata kepada semua orang. Dalam Demokrasi tidak ada bezanya antara orang baik dan orang jahat, antara orang bodoh dan orang pandai, antara ahli maksiat dan orang yang warak -- masing-masing mempunyai satu undi.

Benarkah tidak ada perbezaan diantara seorang Professor dengan seorang lepasan sekolah menengah ? Dan benarkah tidak perbezaan antara seorang penjenayah dengan seorang yang patuh kepada undang-undang ? Dimana logik dan rasionalnya pemikiran yang seperti ini? Tidakkah dangkal pemikiran yang seperti ini ?

Dengan doktrin dan fahaman yang seperti ini mampukah Demokrasi melahirkan pemimpin yang baik, amanah dan adil apatah lagi membentuk sebuah kerajaan yang baik dan adil dan yang menghormati hak segenap lapisan masyarakat ?
Namun demikian tidak sedikit bilangan umat Islam yang berkongsi dan menganut doktrin atau pun berfikir dalam premis yang sama seperti anggota tentera Singapura itu. Maka tidak hairanlah apabila Islam telah dipojokkan dari amalan dan aktiviti kehidupan walaupun dinegara yang didominasi oleh umat Islam.

Segala yang datang dari barat dianggap baik dan diambil untuk dijadikan model membina kehidupan. Baik dalam politik, ekonomi, kewangan, pendidikkan, ketenteraan, undang-undang dan sebagainya. Cara hidup Hollywood menjadi ikutan. Dan Islam hanya diamalkan sebagai upacara ritual sahaja.

Begitu jauhnya umat islam hari ini sudah tersesat. Percaya kepada Allah hanyalah akuan dibibir sahaja. Hakikatnya tidak. Kalau benar kita percayakan Allah masakan kita tolak semua sistem dan peraturannya. Kita engkar segala kehendak, perintah dan laranganNya. Mengapa kita tidak berusaha untuk mendaulatkan Allah SWT ? Mendaulatkan segala sistem dan peraturanNya sebagai cara hidup? Itukah yang dinamakan percaya dengan Allah ? Dan kalau kita sudah tidak percayakan kepada Allah kita hendak percaya kepada siapa lagi ?

Bermacam-macam malapetaka dan masalah yang timbul akibat dari mengamalkan sistem idealogi manusia. Dunia tidak pernah sunyi dari pelbagai konflik dan krisis. Tidakkah kita sedar bahawa semua ini terhasil akibat dari mengamalkan sistem yang salah. Sampai bila kita hendak terus melakukan kesalahan ? Dan sampai bila baru kita nak sedar ? Cerminlah dulu diri sendiri sebelum kita melatah dan marahkan orang lain…

Saturday, November 26, 2011

Perutusan Awal Muharam

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membaca tulisan saya di blog ini. Saya sama sekali tidak menyangka bahawa blog ini akan mendapat sambutan dan reaksi yang baik daripada para pembaca semua. Dan saya juga tidak menyangka akan mempunyai pembaca dari seluruh dunia. Ini sesuatu yang benar-benar diluar jangkaan. Syukur kehadrat Allah SWT.
Tiada didalam hasrat saya untuk menjadikan blog ini sebagai medan intelektuil yang akan membahaskan mengenai soal ekonomi dan kewangan Islam secara terperinci dan akademik. Blog ini hanya merupakan platform untuk saya berkomunikasi dengan komuniti diluar lingkungan saya bagi meningkatkan kesedaran mengenai peri pentingnya untuk kita membangunkan sebuah platform untuk mendaulatkan syariat Islam sebagaimana yang telah di sunnahkan oleh Rasulullah SAW.
Saya bukanlah manusia super hero yang mampu mengubah dunia melainkan hanya seorang manusia biasa, seorang hamba yang telah diberikan nikmat dan anugerah daripada Tuhannya, Allah SWT, Tuhan yang Maha Agung, Tuhan yang menjadi pemilik kepada sekelian alam. Sebuah kurnia nikmat untuk mengenaliNya, nikmat untuk mencintai dan merinduiNya dan nikmat untuk melihat segala kebesaranNya.
Maka didalam blog yang sederhana ini, saya luahkan perasaan saya, pendapat saya mengenai keagunganNya, keindahanNya, kebesaranNya dan nikmat berada dibawah naunganNya. Semuga dengan segala luahan dan rintihan yang tercoret dan bakal tercoret dalam blog ini akan dapat menggamit sebuah keajaiban yang mampu membangkitkan kesedaran massa. Sesungguhnya kesedaran itu adalah anugerah yang paling besar buat hamba-hambaNya.
Kepada para pembaca yang setia mengikuti setiap nukilan dalam blog ini, anggaplah segala nukilan tersebut sebagai sebuah lukisan perasaan yang sedang melakar harapan dan mimpi indah dari sebuah jiwa yang sedang meruntun dan merindui kasih sayang dari Sang Penciptanya. Runtunan jiwa dialam maya yang ingin mengamit kasin-sayangNya agar ianya bias terzahir di alam reality buat menyedarkan saudara-saudaranya sedang mabuk dan terlena diulit mimpi-mimpi indah duniawi yang sedang melekakan mereka dari kewajipan hakiki masing-masing.
Kepada Allah jua saya serahkan segala urusan. Sesungguhnya Dialah yang lebih mengetahui. Dialah pemilik lautan cinta, yang dalamnya tanpa dasar dan luasnya tanpa pantai. Dan hanya cintaNya jualah yang layak dan sewajarnya menjadi puncak segala tujuan.
Sempena dengan kehadiran lembaran baru 1433 Hijrah, marilah sama-sama kita dirikan sebuah mahligai cinta yang seindah Taj Mahal dan segagah Tembok Besar China sebagai lambang pengabdian kita yang sentiasa mendambakan cinta dan keredhaanNya.
Marilah kita bersama-sama bersatu didalam WICC dan bersama-sama mengembeling tenaga dan masa untuk membangunkan WORLD BAITUMAL sebagai tapak berdirinya Mahligai Cinta Kedaulatan Syariah Islamiyah yang bakal menyinari kegelapan dunia dengan keindahan cahaya cintanya.
Semuga dengan berdirinya mahligai tersebut maka akan tebangiunlah segala system dan peraturan yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Sistem dan peraturan yang bisa menundukkan keserakahan nafsu-nafsu manusia dan bisa pula melampiaskan segala keadilan dan kebaikan yang didambakan oleh setiap manusia.
Istana kemegahan kapitalis telah pun tumbang di tanah airnya sendiri dengan tumbangnya Twin Tower pada 11 September 2001. Debu kehancurannya menyesakkan setiap penganutnya diseluruh dunia. Ratap tangis penganutnya bergaung meratapi pemergiannya. Masing-masing keliru dan enggan percaya bahawa jasadnya sudah terbujur kaku dan hanya menanti pengebumiannya.
Alam semesta bergegar menuntut perubahan yang mutlak dari penghuninya. Tsunami di Aceh pada tahun 2004 menjadi lambing tuntutan tersebut. Gelombangnya yang melanda Aceh membawa perubahan mutlak. Menyingkirkan sebuah persengketaan usang dan membersihkan segala kebejatan dan kekotoran. Angin perubahannya membawa sinar baru yang harum semerbak wangi. Memberikan Aceh sebuah wajah baru dan harapan baru. Membawa sebuah proklamasi bahawa Kebangkitan Dari Timur bakal bermula untuk mewarnai dunia.
Dunia Timur yang menjadi dataran yang menghimpun segala kelembutan, kesopanan dan kesusilaan sebuah bangsa, kebangkitannya tidak akan pernah menghunus senjata yang bakal menuntut darah atau jiwa melainkan dengan huluran tangan-tangan yang akan membelai mesra dan bisikan-bisikan manja yang bakal menyentuh dan menyapa hati-hati manusia yang sedang gersang kerana dipanah pesona materi dunia.
Bayu dari timur yang sedang bertiup lembut pasti akan membawa kenyamanan kepada setiap peghuni dunia yang sedang dilanda keresahan dan kekeliruan dengan angin perubahan yang sedang melanda diseluruh dunia. Biar pun angin perubahan yang sedang melanda ini begitu rakus dan ganas untuk memusnahkan segalanya bagaikan gelombang Tsunami yang melanda Aceh namun bersabarlah dan jangan sesekali berputus asa. Gantungkanlah segala harapan kepadaNya yang Maha Kuasa. Insyallah rahmatNya akan melindungi kita.
Dengan Iman dan Taqwa serta Kasih dan Sayang, marilah kita sama-sama berpimpin tangan dan berjalan seiringan dijalan yang telah dilalui oleh hamba-hambaNya yang sebelum kita. Jalan yang lurus, jalan yang diredhai semoga jalan ini akan membawa kita semua memperoleh kejayaan didunia yang fana’ ini dan juga memperoleh kejayaan didunia yang kekal abadi yang sedang menanti kehadiran kita semua.

Wednesday, November 23, 2011

World Baitulmal VS World Zakat Organisation.

Ramai yang bertanya apa bezanya World Baitulmal dengan World Zakat Organisation.
Jawapan saya, perbezaannya adalah sangat besar. World Baitulmal ditubuhkan dengan taufik dan hidayah daripada Allah SWT untuk dijadikan sebagai rumah perbendaharaan yang akan bertanggung-jawab untuk menaungi, mentadbir dan menguruskan harta dan kekayaan ummah.

World Baitulmal juga bertanggung-jawab untuk menjaga hal-ehwal dan kebajikan ummah disamping tanggung-jawab untuk membangun dan memperkasakan ummah.

Wold Baitulmal juga akan menjadi platfom atau tapak tunggal kepada sistem kewangan dan ekonomi Islam. Dan ini secara langsung menjadi tapak kebangkitan Daulah Islamiyah dizaman ini.

Segala dasar, perancangan dan aktiviti World Baitulmal akan dipantau dan diawasi oleh World Islamic Chamber of Commerce (WICC).

Manakala World Zakat Organisation pula ditubuhkan dengan matlamat untuk mengumpul dan mengagih-agihkan wang zakat. Ianya ditubuhkan dengan inisiatif dari pemerintah-pemerintah negara-negara umat Islam.

Dari segi struktur, secara hieraki, dengan adanya World Baitulmal maka wajiblah keatas World Zakat Organisation bergabung dan bernaung dibawah World Baitulmal.
Dan wajib juga keatas World Zakat Organisation untuk menyerahkan segala kutipan wang zakat kepada World Baitulmal untuk ditadbir dan diuruskan demi kepentingan maslahat ummah diseluruh dunia.

Dengan tertubuhnya World Baitulmal, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam diseluruh dunia untuk mengikhtirafnya dan memperakuimya sebagai satu-satunya rumah perbendaharaan untuk umat Islam diseluruh dunia.

Adalah menjadi kewajipan juga kepada semua institusi-institusi kewangan Islam dan institusi-institusi kebajikan umat Islam yang ada diseluruh dunia untuk bergabung dan bernaung dibawah World Baitulmal.

Proses pengabunggan dan konsolidasi semua institusi-institusi tersebut hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera demi kepentingan dan kesejahteraan ummah.

Kewajipan ini hendaklah dipatuhi oleh seluruh umat Islam kerana ianya adalah menuruti kehendak syariah Islam. Semoga dengan segala ketaatan dan kepatuhan tersebut kita semua insyallah akan mendapat rahmat dan keredhaan dari Allah SWT.

Sekiranya ada sebarang pertikaian dan perselisihan dikalangan umat mengenai saranan-saranan yang telah dikemukakan maka hendaklah umat ini kembali kepada Al-Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak sebagai sumber hukum.

Sebarang maklum balas adalah sangat dihargai.

Monday, November 21, 2011

World Baitulmal – A single platform for Islamic Financial System

World Baitulmal ditubuhkan untuk menjadi rumah perbendaharaan dan pusat kewangan Islam sedunia. Ianya juga akan menjadi platform tunggal dan sentralisasi dalam sistem kewangan Islam.

World Baitulmal juga antara lain akan berfungsi sebagai :-

1. Badan yang akan bertanggung-jawab untuk mengelola kebajikan. pembangunan dan hal-ehwal ummah.

2. Pusat pengumpulan dan pengagihan wang zakat umat Islam sedunia.

3. Pusat pentadbiran dan pengurusan harta-harta umat Islam terutamanya harta waqaf. Ini termasuklah 3 tempat suci umat Islam iaitu, Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis. Ini kerana tiada sesiapa mahu pun mana-mana negara termasuk Arab Saudi yang mempunyai hak untuk mentadbir dan menguruskan tempat-tempat tersebut melainkan ummah. Ianya milik ummah dan wajib dikembalikan kepada ummah.

4. Bertanggung-jawab untuk memakmurkan dan mensejahterakan umat Islam dan umat manusia.

Tanpa tapak atau platform tunggal yang sesuai yang memenuhi tuntutan syarak dan kehendak Islam, sistem kewangan Islam tidak akan berjaya diwujudkan. Impian dan harapan untuk melihat kewujudan sebuah sistem kewangan tanpa pinjaman dan bebas riba akan hanya tinggal impian sahaja. Dan tanpa sistem kewangan Islam, sistem ekonomi Islam tidak akan wujud.

Begitu juga dengan impian untuk melihat emas dan perak sebagai matawang atau sebagai medium of transaction dalam sistem ekonomi dan kewangan tidak akan dapat dicapai. Tanpa mempunyai platform dan mekanisme yang sesuai ianya tidak akan dapat dilaksanakan dan diamalkan terutamanya dalam ekonomi moden yang begitu komplek dan komprehensif.

Tanpa menjadikan emas dan perak sebagai matawang tunggal dalam sistem kewangan, kita akan sentiasa dibelenggu dengan masalah spekulasi dan ketidak-stabilan nilai matawang dalam pasaran. Sebagai matawang tunggal, emas dan perak juga dapat mencegah lambakkan wang kertas yang tidak mempunyai nilai intrinsic kedalam pasaran yang bolih menyebabkan inflasi dan deflasi yang tidak terkawal dalam sistem ekonomi.

Kewujudan World Baitulmal juga adalah merupakan interpretasi kesatuan dan persatuan dalam Islam sebagaimana yang dituntut dalam Aqidah Islamiyah itu sendiri. Dan sewajarnya menjadi wadah kepada kesatuan, persatuan dan persaudaraan Islam.

Pada hari ini kesatuan dan perpaduan dikalangan umat Islam diseluruh dunia amat sukar untuk dicapai kerana wujudnya sempadan-sempadan politik dan sistem perundangan yang berbeza-beza dikalangan negara-negara umat Islam. Maka dengan lahirnya World Baitulmal adalah sewajarnya badan ini dijadikan platform kepada kesatuan dan perpaduan seluruh umat Islam.

Setelah jatuhnya Empayar Othmaniah pada tahun 1923, para penjajah barat telah membentuk dan melakar semula peta dunia. Mereka menggunakan kaedah ‘ pecah dan perintah’ (divide and rule) untuk melemahkan umat Islam dan untuk memudahkan mereka mengawal umat Islam diseluruh dunia. Maka muncullah negara-negara baru yang suatu waktu dahulu bernaung dibawah Empayar Othmaniah.

Negara-negara baru ini diwujudkan dan dibentuk dengan berasaskan kepada sistem sekuler-kapitalisme. Sistem yang mengasingkan agama dari cara hidup. Baik dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Sebuah sistem yang memuja dan mengagungkan pembangunan fizikal dan material serta mementingkan hiburan semata-mata. Ini menjadikan Islam begitu terasing daripada kehidupan ummah.

Islam adalah ‘Ad-Din’ atau cara hidup yang sempurna. Cara hidup yang diredhai dan telah dijamin kesempurnaannya oleh Allah SWT. Islam tidak sebagaimana agama-agama yang lain memiliki 3 komponen penting iaitu Aqidah, Syarak dan Akhlak yang melayakkannya untuk menjadi sebuah agama dan cara hidup yang seharusnya diikuti oleh setiap umat manusia.

Kejatuhan Empayar Othmaniah menjadi permulaan kepada zaman kegelapan umat Islam. Tanpa naungan sistem Khilafah Islam, umat Islam semakin hari semakin berpecah belah, keliru dan semakin lemah. Dan ulamak-ulamak diwaktu itu telah berfatwa ‘ mulai hari ini wajiblah keatas tiap-tiap umat Islam untuk membangunkan kembali sistem Khilafah dan Daulah Islamiyah.’

Dengan mengamalkan sistem politik demokrasi, mereka telah dikelirukan dengan bermacam-macam isme-isme dari Barat. Keliru dengan berbagai-bagai terminologi dan definasi yang sengaja diwujudkan untuk menyesatkan mereka.

Dan dengan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis pula kehidupan mereka telah dibelenggu dengan hutang-piutang. Mereka dipaksa bekerja siang dan malam hanya untuk ,melunasi hutang-hutang mereka dan memperkayakan para-para kapitalis yang menjadi tuan-tuan mereka. Mereka dididik untuk menjadi manusia yang hanya mementingkan kerjaya dan pengumpulan harta. Kesibukkan rutin harian mereka menyebabkan mereka lupa dengan tugas hakiki mereka hamba Allah dan Khalifah Allah diatas muka bumi ini. Mereka lupa dengan segala macam hubungan dan peranan sebagaimana yang telah diajar oleh Islam.

Kewujudan World Baitulmal adalah merupakan anugerah dan rahmat dari Allah SWT kepada umat manusia. Ia adalah merupakan tapak kepada kebangkitan Daulah Islamiyah. Daulah yang akan mengembalikan dan mengatur seluruh urusan kehidupan manusia kelandasan syariah Islam yang diredhai Allah SWT.

Ia juga adalah merupakan jawapan kepada segala macam krisis yang telah ditimbulkan oleh sistem ekonomi dan kewangan kapitalis.

Kepada seluruh umat Islam dan umat manusia, saya menyeru marilah kita membangunkan sebuah system ekonomi dan kewangan alternative yang bersumberkan wahyu dari yang Maha Agung dan Maha Mengetahui. Sistem yang kita amalkan pada hari ini sudah diambang kehancuran.

Kalau Amerika dan negara-negara maju yang lain juga hampir muflis dan hancur kerana mengamalkan sistem kapitalis ini apatah lagi negara-negara lain. Sebagai manusia kita diberi anugerah yang paling besar. Anugerah untuk memilih. Kenapa kita tidak memilih untuk berjalan dilandasan yang sebenarnya. Landasan yang telah diikuti oleh umat-umat yang terdahulu. Landasan yang telah terbukti mampu membawa umat manusia kepada kemakmuran dan kesejahteraan.

Wednesday, November 16, 2011

World Islamic Charmber of Commerce ( WICC )

Dunia diambang kehancuran. Sistem ekonomi dan kewangan kapitalis yang dianuti oleh hampir seluruh Negara didunia telah gagal. Gagal dari semua dimensi. Bermacam-macam krisis timbul. Politik, ekonomi, kewangan, sosial dan alam sekitar.
Atas kesedaran tersebut lahirlah World Islamic Charmber of Commerce atau WICC secara ringkasnya. Sebuah organisasi yang diwujudkan untuk mempromosi dan membangunkan sistem ekonomi dan kewangan Islam. WICC juga akan berperanan sebagai sebuah badan yang akan membuat dasar, peraturan dan menjadi pengawas dalam pasaran sistem ekonomi dan kewangan Islam.
Ini kerana Islam tidak mengamalkan pasaran bebas (un-regulated market) seperti yang kononnya diamalkan sekarang. Walaupun kononnya pasaran yang ada sekarang dikenali sebagai pasaran bebas namun ia tidak pernah sunyi dari campur-tangan pemerintah. Apatah lagi bebas dari monopoli, manipulasi dan eksploitasi dari golongan mereka yang berkuasa dan berpengaruh. Dan gejala-gejala inilah menyebabkan timbulnya berbagai krisis ekonomi dan kewangan.
Olih itu sebuah badan pengawas adalah diperlukan bagi mengawasi perjalanan pasaean dan juga segala bentuk aktiviti yang dijalankan. Ini bagi mempastikan agar segala bentuk monopoli. manipulasi dan eksploitasi tidak berlaku dalam pasaran. Dengan adanya badan pengawas seperti WICC ini akan mewujudkan kestabilan dan keseimbangan dalam pasaran.
Sebuah mahkamah yang akan dikenali sebagai World Syariah Court perlu diwujudkan. Mahkamah ini perlu diwujudkan sebagai tempat untuk mencari penyelesaian sekiranya berlaku pertikaian dikalangan pemain-pemain dalam pasaran ekonomi Islam. Ini dapat mempastikan wujud keadilan dalam pasaran ekonomi Islam kerana segala pertikaian akan diadili menurut lunas-lunah syariah.
Pasaran dalam sistem ekonomi Islam dibentuk dan dibangunkan selaras dengan dasar, prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan yang telah digariskan menurut syariah Islam. Ini bagi menjamin wujudnya keadilan, keseimbangan dan kestabilan dalam pasaran.
Ini bertentangan dengan apa yang sedang berlaku dalam pasaran bebas. Pasaran ini kononnya dibentuk dan dibangunkan oleh market forces. Market forces ini yang akan menentukan segala-galanya dalam pasaran bebas. Ini termasuk harga serta permintaan dan bekalan. Namun apa yang berlaku dimana-mana sentiasa ada campur-tangan dari pemerintah bila dirasakan pemerintah perlu untuk campur-tangan demi melindungi kepentingan sesetengah pihak.
Kita lihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat, negara yang menjadi pendokong dan promoter kepada sistem ekonomi dan kewangan kapitalis. Negara yang kononnya menjunjung prinsip-prinsip amalan pasaran bebas.
Mereka sendiri turut masuk campur dalam pasaran. Sanggup membelakangkan prinsip-prinsip amalan pasaran bebas. Bahkan sanggup pula membelanjakan wang rakyat beratus-ratus billion untuk mem bail-out korporat-korporat besar mereka yang jatuh muflis akibat krisis kewangan. Kenapa mereka tidak membiarkan sahaja korporat-korporat tersebut jatuh muflis ? Bukankah apa yang sedang berlaku ini disebabkan oleh market forces ? Kenapa harus menggunakan wang rakyat untuk membela para kapitalis yang selama ini mengaut keuntungan yang berlipat ganda dari rakyat ? Dimana keadilan dan logikanya semua ini ?
Dan yang lebih melucukan lagi, kerajaan Amerika sendiri terpaksa menaikkan debt ceiling mereka supaya mereka boleh meminjam lagi bagi membiayai pembayaran faedah kepada hutang-hutang mereka. Ini dilakukan bagi mengelakkan Negara tersebut diistiharkan sebagai muflis kerana kegagalannya untuk membayar huyang Negara atau Sovereign Default. Inilah krisis yang sedang berlaku di Negara-negara Eropah seperti Greece. Ireland, Portugis dan banyak lagi yang bakal menyusul.
Ekonomi Amerika sendiri yang kononnya ditadbir dan diuruskan oleh the best brain in the world sedang menuju kehancuran akibat menanggung hutang yang besar Mereka hamper tidak mampu untuk membayar faedah daripada hutang-hutang mereka. Itu baru faedah bukan hutang pokok. Bayangkan betapa dahsyatnya kesan dan akibat daripada hutang dan faedah ini kepada manusia. Tanpa ehsan dari negara kominis seperti China, Amerika sudah lama muflis.
Sebab itu Islam tidak menggalakkan berhutang. Apatah lagi menjadikan hutang sebagai satu bentuk perniagaan. Ianya dilarang sama sekali.
Persoalannya, kemana perginya pakar-pakar ekonomi dan kewangan mereka yang selama ini sering menunjuk ajar dan mengkritik Negara-negara lain terutamanya Negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia contohnya ? Kenapa mereka tidak mampu menanggani masalah daripada sistem yang mereka cipta sendiri ?
Dan bagaimana pula dengan CEO-CEO korporat-korporat besar mereka yang dibayar dengan gaji jutaan dollar setahun ? Kalau mereka-mereka ini hebat, terpelajar dan berpengalaman kenapa korporat-korporat yang mereka terajui dan tadbir bolih hancur dan muflis ? Mana perginya segala teori dan strategi pengurusan mereka ? Semakin dibaiki semakin besat pula masalah.
Kalau setakat jadi pemimpin korporat hanya untuk menambahkan hutang, saya fikir kita tak perlukan mereka-mereka yang berpengalaman dan berkelulusan tinggi. Bila ekonomi tengah baik sombong dan megah dengan pencapaian mereka tetapi bila ditimpa krisis melutut dan menyembah pemerintah mohom bantuan. Alasannya ini bukan kesilapan mereka tetapi kerana berlaku krisis ekonomi global. Persoalannya mengapa berlaku krisis ekonomi global ? Apakah pakar-pakar mereka tidak cukup pakar sehingga tidak mampu menjangka dan meramalkan masalah yang bakal mereka hadapi ?
Dimana silapnya semua ini ? Kerajaankah yang tidak cekap menguruskan ekonomi atau pengurusan yang tidak cekapkah atau memang sistem ini yang bermasalah dan wajar dipersalahkan ? Sia-sia bergelar pakar kalau ekonomi dinegara sendiri pun tidak mampu diurus dan ditangani dengan baik.
Mungkin sudah waktunya untuk kita menilai semula sistem yang kita anuti ini. Ini kerana sistem yang kita anuti ini sudah terbukti tidak mampu mensejahterakan dan memakmurkan dunia. Malahan ia telah menghancur dan memporak-perandakan Negara-negara pengasasnya. Sistem yang tidak pernah sunyi dari berbagai krisis. Umpama sebuah kereta yang sering rosak dan sentiasa perlu diperbaiki. Tidakkah ini menjadi liabiliti terbesar dalam hidup kita. Bukankah wajar untuk kita gantikan dengan sistem yang lain.
Perlukah dipertahankan lagi sebuah sistem ekonomi yang kononnya terbaik dan hebat tapi berbillion penganutnya hidup dalam kesengsaraan ? Bahkan yang lebih malang, lagi beratus juta penganutnya sedang mengalami kebuluran diseluruh dunia akibat mengamalkan system ini.
Mungkin sudah sampai waktunya untuk kita melihat dan menilai semula sistem yang kita anuti ini. Barangkali kita juga sudah sewajarnya berfikir untuk menukar sistem yang ada ini dengan sistem yang baru. Kalau di Eropah, sudah ada pemikiran yang ingin menggabungkan antara sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi sosialis. Gagasan pemikiran ini dikenali sebagai The New Way. Walau apapun yang sedang mereka fikir dan ingin mereka laksanakan bukankah mereka masih ingin mencuba dan bereksperimen dengan teori dan idealogi manusia ? Dan mahukah kita terus disesatkan oleh golongan-golongan seperti ini dengan teori-teori dangkal mereka ?
Bagi kita umat Islam yang bilangannya sudah menjadi 1.6 billion mengapa tidak kita memilih untuk kembali kepangkal jalan. Kembali beriman kepada Allah dan RasulNya. Bukankah sudah ada jaminan dari Allah SWT bahawa Islam itu adalah agama yang sempurna. Agama yang memiliki sistem dan peraturan hidup yang lengkap dan komprehensif. Yang diturunkan untuk dijadikan suatu cara hidup oleh umat manusia. Sistem wahyu yang telah diturinkan kepada kita oleh sang pencipta yang lebih mengetahui segala keperluan dan kemahuan serta segala kelemahan dan kekerungan kita sebagai umat manusia.
Apakah kita merasa kita lebih pandai dari Allah SWT sehingga kita berani menolak sistemNya dan mengamalkan sistem kita sendiri yang lahir daripada logik akal dan nafsu kita semata-mata ?
Dengan terbentuknya WICC, saya memohon dan menyeru kepada seluruh umat Islam diseluruh dunia untuk bersatu dan bersama-sama berusaha untuk membentuk dan membangunkan sebuah sistem ekonomi dan kewangan yang baru yang bersumber dari Al-Quran dan Sunnah serta Qias dan Ijmak.
Sebuah sistem baru yang berdasarkan kepada iman dan taqwa. Yang menjunjung tinggi peradaban dan nilai-nilai kemanusian sebagaimana yang telah dicuntuhkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW. Sebuah system yang akan meletakkan yang hak diatas tempat yang sewajarnya. Untuk apa kita pertahankan lagi sistem yang hanya menguntungkan segelintir pihak. Sedangkan majoritinya hanya menjadi mangsa kepada keserakahan nafsu para kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan sahaja. Sombong dan angkuh dengan apa yang mereka miliki. Dan apabila mereka ditimpa bencana kita juga yang terpaksa dikorbankan untuk menyelamatkan mereka. Sampai bila kita ingin diperbodoh-bodohkan oleh mereka ?
Siapakah mereka-mereka ini yang begitu istimewa sekali ? Apakah hanya kerana mereka memiliki pengaruh dan wang maka mereka wajar di istimewakan ? Sedangkan apa sahaja yang mereka miliki sudah terbukti bukanlah dari hasil kepintaran dan kemampuan mereka bahkan mereka ini hanyalah sekadar bernasib baik sahaja.
Marilah kita bersatu dan berjuang bersama-sama demi kepentingan anak cucu kita dan seluruh umat manusia. Marilah kita bersama-sama kembali ke jalan Allah. Jalan yang diredhaiNya. Semuga kehidupan kita diberkati dan diredhai. Marilah kita bersatu dan berjuang diatas kalimah La ilaha ila Allah dan Muhamaddurrasulullah sebelum datangnya 4 perkara. Muda sebelum datangnya tua. Sehat sebelum datangnya sakit. Senang sebelum datangnya susah dan hidup sebelum datangnya mati.
Teruskan bersama blog ini. Insyaalah saya akan terus menulis dan memberikan panduan dan penerangan system ekonomi dan kewanga Islam menurut versi dan pandangan saya serta bagaimana ianya dapat dibangunkan juga melalui kaedah menurut versi dan pandangan saya yang sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan cita-cita murni ini dapat kita capai dan laksanakan. Insyaallah.

Tuesday, November 15, 2011

Nota buat Datuk Bandar Shah Alam

Pada jam 11 pagi hari Rabu 16-11-2011, saya telah meletak kereta dihadapan bangunan Komplek PKNS Shah Alam. Kemudian saya memasuki bangunan tersebut untuk membuat deposit wang di mesin ATM Affin Bank. Pekerjaan itu mengambil masa sekitar 5-7 minit. Atau paling lama pun 10 minit kerana tidak ada sesiapa waktu itu dan saya tidak perlu berbaris.

Setelah itu saya keluar dan mendapati kereta saya sudah tiada. Saya terus ketempat saya meletek kerete dan mengambit resit yang ditampal pada kon yang diletakkan disitu yang memberi arahan agar saya pergi ke kaunter MBSA untuk membuat pembayaran denda.
Untuj pengetahuan Ybhg Datuk, saya telah pun membuat pembayaran tersebut. Setelah membuat rayuan, saya hanya dikenakan kompaun sebanyak RM 150.00 sahaja. Saya telah pun membayar kompaun dan mengambil kereta saya kembali.

Disini, apa yang saya kesalkan dan tidak memuaskan hati saya adalah kerana jangka masa antara 5 hingga 10 minit yang saya ambil untuk menyelesaikan urusan saya. Ini kerana para penguatkuasa MBSA juga memerlukan sekitar 5-10 minit untuk persiapan bagi menunda kereta saya. Ini bermakna sewaktu saya meletakkan kereta mereka sudah pun memerhatikan saya. Persoalan saya, mengapa mereka tidak menegur perbuatan saya tetapi mengambil keputusan untuk menunda kereta saya.

Mengapa mereka tidak mengambil kaedah yang lebih berhemah dan tidak membebankan saya tetapi memilih untuk mengambil kaedah yang lebih keras dan bersifat menghukum terhadap saya ? Apakah dengan mengambil kaedah yang lebih berhemah itu akan mengurangi kuasa mereka atau bolih menyebabkan karisma mereka sebagai penguasa itu menurun ?

Saya kurang faham dengan neraca pertimbangan mereka. Kalau ditanya kepada mereka, alasannya adalah kerana mereka hanya mengikut arahan atasan mereka. Kalau begitu ini bermakna atasan-atasan merekalah yang tidak berhati perut dan cuba untuk menunjuk-nunjukkan kuasa kepada kami rakyat-rakyat kerdil ini.

Saya akui Rm 150.00 tidak besar. Tetapi buat orang-orang kerdil seperti saya adalah cukup besar maknanya terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat ini. Dan dengan mengambil waktu hampir 2 jam untuk menguruskan segala-galanya, ini amat membebankan buat orang-orang seperti kami.

Dimanakah akal dan budi bicara pegawai-pegawai Ybhg Datuk ? Kenapa tidak mereka menggunakan akal dan budi bicara sewaktu menjalankan tugas? Apatah lagi mereka ini kebanyakkannya orang Melayu dan beragama Islam. Saranan saya, gunakanlah akal yang waras dan bijaksana dalam menjalankan tugas. Fikirkanlah tentang masalah rakyat.
Alangkah baiknya sekiranya mereka ini menjalankan tugas dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Menggunakan akal dan budi dengan bijaksana sebagaimana sewajarnya sebagai seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Bukan hanya melaksanakan perintah dan arahan seperti layajnya robot.

Namun untuk membangun kesedaran dan keinsafan bukanlah mudah. Saya sedar perkara itu. Ianya harus melalui satu kaedah ataupun proses yang berterusan. Ianya harus diterapkan dalam diri setiap kaki tangan jabatan secara berterusan untuk mendapatkan hasil yang diharapkan.

Sebagai pemimpin tertinggi dalam jabatan ini, ada;lah menjadi tugas dan tanggung-jawab Ybhg Datuk untuk merangka dasar dan program-program tersebut. Program dan latihan yang menerapkan nilai-nilai murni agama kepada kakitangan jabatan disemua peringkat. Membina semangat dan kesedaran yang tinggi untuk berbakti kepada rakyat untuk mencari keredhaan Allah SWT adalah lebih mulia dari sekadar bekerja kerana gaji dan pangkat.

Pengabdian yang tulus hanya mampu dilakukan dengan iman, taqwa dan akhlak yang baik. Penerapan nilai-nilai agama adalah proses yang berterusan. Tanpa nilai-nilai tersebut apalah yang dapat diharapkan oleh rakyat dari kakitangan jabatan seperti mereka ini. Orang-orang yang tidak pernah merasakan bahawa tugas dan tanggung-jawab yang ada dibahu mereka adalah sebenarnya amanah daripada Allah SWT kepada mereka. Dan Allah akan senantiasa memehatikan mereka.

Mereka seharusnya lebih takutkan Allah melebihi ketakutan terhadap atasan-atasan mereka. Tanpa nilai dan akhlak yang sebegini mereka hanya akan menghancurkan rakyat dan masyarakat bukan mensejahterakan mereka. Lihat disekeliling kita. Ini yang sedang berlaku. Kita sudah diambang kehancuran. Hanya sekadar menunggu masa sahaja.

Masalah orang muda kerana mereka tidak memiliki adab namun masalah orang dewasa lebih parah lagi kerana mereka tidak memiliki akhlak. Sebab itu gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa semakin berleluasa. Ini belum lagi dengan kerenah kakitangan jabatan yang menjalankan tugas dengan sombong dan angkuh dan berbagai-bagai lagi.

Ini bukan masalah adab tetapi masalah akhlak. Sekiranya perkara-perkara seperti ini tidak dipantau dan diberi perhatian yang serius lama kelamaan ia akan menjadi barah yang akan menghancurkan masyarakat.

Gejala-gejala tersebut sebenarnya sudah pun membarah didalam masyarakat. Semakin hari rakyat semakin terseksa dibelengu dengan keadaan-keadaan seperti ini. Keadan semakin hari bukan semakin membaik tetapi semakin parah. Rakyat sudah kehilangan arah. Tidak tahu hendak mengadu kemana.

Kasihanilah rakyat kerdil. Kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian adalah hak mereka. Berikan lah hak tersebut kepada mereka. Dan inilah tugas dan tanggung-jawab pemerintah dan penguasa. Percayalah, bahawa semua ini akan dipertanggung-jawabkan di hari akhirat nanti terhadap semua pemerintah dan penguasa oleh Allah SWT. Tuhan yang menjadi pemerintah kepada semua pemerintah.

Laksanakanlah transformasi sebagaimana yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Laksanakanlah sekarang. Kita sudah tidak mempunyai banyak masa. Jadikanlah Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman. Mintalah petunjuk dan bimbingan dari para Ulamak yang jujur dan ikhlas. Mudah-mudahan kita semua akan diberkati Allah dan diredhaiNya. Insyaallah.

Friday, November 4, 2011

Selamat menyambut Aidil Adha…

Selamat menyambut Aidil Adha…

‘’ La baikallah humma labaik… labaikkala sharikala kalabaik.. innal hamda wanikmata latawalmulk lasharikala .. ’’
Aidil Adha datang lagi. Aidil Adha yang membawa mesej tentang Cinta dan Pengorbanan menjengah kita lagi. Maka dikesempatan yang terbaik ini, kepada seluruh umat Islam, walau dimana sahaja anda berada Selamat Menyambut Aidil Adha. Semoga kehadiran Aidil Adha kali ini lebih bererti dan membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita semua sebagai hamba Allah yang melata diatas muka bumi ini. Semoga taufiq dan hidayah serta rahmat dan keredhaanNya sentiasa menaungi kehidupan kita semua.
Aidil Adha adalah sebagaimana yang telah diketahui umum adalah sempena memperingati peristiwa yang menunjukkan betapa besarnya cinta dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan kewajipannya sebagai hamba Allah dalam perjuangannya untuk meraih redha Illahi dan tidak ketinggalan juga bagaimana hebatnya kerelaan dan kesabaran Nabi Ismail AS dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Begitu tinggi sekali nilai cinta dan pengorbanan yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim AS. Kesediaannya untuk mengorbankan anaknya sendiri demi kecintaannya terhadap Allah SWT dalam mujahadahnya untuk mencari keredhaan Allah SWT menjadi inspirasi dalam menghayati Aidil Adha. Di satu sisi yang lain pula peristiwa ini juga menunjukkan bagaimana tingginya pengabdian seorang anak terhadap orang tuanya sehingga sanggup dikorbankan demi memenuhi perintah sang pencipta yang maha berkuasa. Maha Suci Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu melainkan untuk kita berfikir dan merenung tentang kebesaranNya.
Alangkah indahnya sekiranya peristiwa ini mampu dihayati dan dijadikan iktibar serta inspirasi kepada seluruh umat Islam dalam menunaikan kewajipan sebagai seorang khalifah dan hamba Allah diatas muka bumi ini. Bayangkan betapa indahnya dunia yang kita huni hari ini sekiranya kita memiliki ummah yang mempunyai jiwa yang besar dan nilai-nilai mulia yang agung seperti Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Sudah pasti dunia yang ada pada hari ini adalah sebuah dunia yang indah dan selesa untuk didiami. Sebuah dunia yang menjadi medan kepada setiap warganya untuk menampilkan pengabdian yang hakiki dalam perjuangan untuk menagih cinta dan redha Illahi. Sesungguhnya pengabdian itu satu perjuangan. Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Berkorban dan terkorban, itulah resam dalam pejuangan.
Malangnya pada hari ini inspirasi Aidul Adha hanya indah meniti dibibir para-para pendakwah dan penceramah-penceramah agama sahaja. Enak dan lunak sebagai halwa telinga kepada pendengar-pendengarnya. Menjadi dengungan dalam majlis-majlis untuk merayakan Aidul Adha. Sekadar itu sahajalah penghayatannya. Tidak mampu untuk diterjemahkan lebih jauh dari itu.
Saban tahun hanya lembu dan kambing sahaja yang mampu kita korbankan sebagai tanda menyahut seruan Aidul Adha. Apakah hanya lembu dan kambing sahaja yang sepatutnya dikorbankan untuk menyahut seruan Aidul Adha atau pun ia sebenarnya menuntut pengorbanan yang jauh lebih besar dari itu. Mungkin kerana kita tidak pernah bertanya kepada diri kita maka kita tidak pernah menemukan jawapannya. Apakah pengorbanan yang sebenar yang dituntut daripada kita untuk memenuhi seruan Aidul Adha.
Kita tidak pernah bertanya kepada diri kita apalagi yang sanggup kita korbankan untuk meraih cinta Illahi selain dari lembu dan kambing. Mungkin ada baiknya sekiranya kita mulai bertanya kepada diri kita untuk menguji sejauh mana kesanggupan kita untuk berkorban dalam usaha kita untuk meraih cinta dan redha Illahi. Bertanyalah kepada diri kita, sanggupkah kita pertaruhkan jawatan yang kita sandang, harta-harta yang kita miliki, pengaruh yang kita punyai kerana Allah. Kerana agamaNya dan kerana hamba-hambaNya? Pernahkah kita bertanya kepada diri kita apakah cinta kita kepada Allah melebihi cinta kita kepada dunia atau apakah cinta kita kepada dunia melebihi cinta kita kepada Allah. Renungkanlah…
Hari ini, walau pun umat Islam sudah ramai, bilangannya sudah mencecah 1.5 billion diseluruh dunia namun semakin hari umat Islam semakin lemah. Semakin berpecah belah. Sudah menjadi umpama buih-buih dilautan. Banyak tetapi rapuh. Mereka lemah mereka rapuh bukan kerana mereka tidak memiliki kuasa atau tidak memiliki kekayaan atau tidak menguasai teknologi tetapi mereka lemah kerana mereka memilih untuk mencintai dunia daripada mencintai Allah.
Sesungguhnya kecintaan umat pada hari ini terhadap dunia sangat luar biasa. Sehingga menyebabkan mereka menjadi takut untuk mati. Takut kehilangan dunia. Takut kehilangan pangkat, harta dan juga keluarga. Pangkat, harta dan keluarga adalah segala-galanya bagi mereka.
Agama sekadar dijadikan alat untuk meraih sokongan dan mengumpulkan kekayaan. Agama sudah tidak menjadi pedoman dalam hidup mereka. Sekularisme dan kapitalisme yang telah mendasari pemikiran mereka. Sebab itu mereka menjunjung dan mengagung-agungkan perkara-perkara yang bersifat fizikal dan material.
Pemikiran, nilai, budaya dan gaya hidup dari barat jadi amalan. Kesemuanya diimpot dari barat dan amalkan tanpa rasa malu dan rasa bersalah. Apatah lagi untuk merasa berdosa. Amalan gaya hidup dari barat ini bukan sahaja menjadi amalan oleh mereka-mereka yang jahil agama malahan oleh mereka-mereka yang kononnya bijak pandai dalam soal-aoal agama.
Amalan-amalan dan budaya dari barat ini diterapkan dengan nilai-nilai islam kerana kononnya apabila adanya penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan-amalan dan budaya tersebut ianya sudah halal untuk diamalkan. Maka wujudlah segala macam mekanisme untuk menghalalkan segalanya seperti perbankan Islam, takaful, tabung haji, pajak gadai Islam, halal-hub, fesyen muslimah dan berbagai-bagai lagi produk, mekanisme dan system yang telah dijenamakan dengan Islam.
Semua ini sudah diterima sebagai sesuatu yang halal dan Islamik walaupun dasarnya bukanlah iman dan taqwa sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW tetapi adalah sekuler-kapitalisme. Sebab itu sehingga ke hari ini kesempurnaan Islam dan keindahan Islam itu tidak dapat dirasai. Jauh sekali daripada mensejahterakan umat. Ini kerana ianya dibangunkan dengan niat yang salah dan cara yang salah. Jauh menyimpang dari apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Kini, dengan segala macam bencana, krisis dan masalah yang dialami umat mungkin sudah sampai masanya bagi kita umat Islam untuk bermuhasabah diri. Mencari jawapan dan kekuatan dari dalam diri sendiri. Kita tidak bolih lagi menyandarkan harapan dan tanggung-jawab untuk mendaulatkan Islam kepada sesiapa pun sama ada pemimpin politik, para ulamak mahu pun tokoh-tokoh korporat yang sedia ada pada hari ini.
Ini kerana kewajipan itu seharusnya tertakluk dibahu setiap umat Islam yang mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhamad itu pesuruh Allah.
Setiap umat Islam yakin bahawa Islam adalah agama yang syumul (sempurna) dan menyeluruh. Islam mengatur seluruh kehidupan manusia. Dari soal ibadah, munakahah dan muamalah serta jinayah. Islam mengatur segalanya dan Islam mempunyai semua jawapan kepada setiap permasalahan manusia.
Malangnya, masalah tidak pernah selesai. Semakin hari semakin besar masalah yang menimpa umat. Semakin banyak yang dilakukan yang kononnya untuk kemaslahatan umat semakin jauh umat ini dari menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.
Renungkanlah…. Kenapa bolih jadi begini ? Bukankah Islam adalah agama wahyu. Agama kurnian dari Sang Pencipta yang Maha Mengetahui akan segala keperluan hamba-hambaNya. Ianya diturunkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. Untuk menjamin kesejahteraan manusia baik didunia mahupun diakhirat. Dan ianya telah dicontohkan dari segi pelaksanaan dan amalannya oleh Nabi Muhamad Rasulullah SAW.
Sesungguhnya hanya kepada Allah segala tujuan, segala harapan dan sumber kekuatan. KepadaNya lah kita memohon semoga Aidil Adha kali ini lebih mendekatkan kita kepadaNya. Hanya dengan kedekatan kepadaNya sahajalah yang mampu memberikan kita segala kekuatan dan kemampuan. KepadaNya lah kita menyerah diri. Sesungguhnya Allah tidak perlukan kita tetapi kitalah yang perlukan Allah. Begitu juga Islam. Islam tidak perlukan kita tetapi kitalah yang perlukan Islam demi kesejahteraan kita didunia dan diakhirat.
Semuga rahmat dan keampunanNya dapat memberikan kita segala kekuatan yang kita perlukan demi menghadapi masa depan yang semakin mencabar. KepadaNya jualah kita kembalikan segala urusan. Sesungguhnya tiada sesiapa yang lebih mengetahui dan lebih berkuasa selain Dia.
Ampuni segala dosa-dosa kami Ya Allah, terima taubat kami dan terimalah amal ibadah kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… Amin…amin