Tuesday, June 1, 2010

Nota Buat PM - 3

Mulai tahun 2010 ini, dunia akan mengalami krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah. Apa yang sedang dialami oleh Greece akan terus merebak ke negara-negara lain. Selepas ini dijangkakan negara seperti Sepanyol dan Portugis pula yang akan mengalami nasib yang sama. Tidak ketinggalan juga negara-negara besar seperti British dan Perancis hanya menunggu masa sahaja. Begitu juga dengan negara-negara Eropah yang lain.
Di negara kita sendiri misalnya, Dato Seri Idris Jala iaitu Menteri Tak Berpotfolio di JPM telah membuat kenyataan sekiranya kita tidak mengambil langkah-langkah yang drastik, untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, besar kemungkinan dalam tempoh 9 tahun negara kita akan jatuh muflis.
Pengurangan kos perbelanjaan hanyalah satu kaedah untuk memperpanjangkan jangka hayat atau daya tahan kita. Walaupun ianya kelihatan efisien pada mata ramai orang sekiranya dilaksanakan tetapi sebenarnya ia bukan merupakan jalan penyelesaian. Ia akan menjadi punca kepada masalah yang lebih besar sekiranya dilaksanakan.
Kaedah tersebut lebih sesuai dilaksanakan diperingkat mikro bukan makro. Ini kerana masalah sebenar yang bakal kita hadapi adalah jauh lebih besar daripada apa yang kita jangkakan. Kita bukan hanya perlu melihat kepada masalah yang berlaku tapi mengenal pasti punca sebenar kepada masalah tersebut.
Kita maklum bahawa setiap sekolah perniagaan didunia akan mengajar kita untuk mengurangkan kos bagi menghadapi kegawatan ekonomi. Namun demikian sekiranya langkah tersebut dilaksanakan juga oleh pihak kerajaan, ianya pasti akan membebankan rakyat. Perbelanjaan dipihak rakyat pula yang akan bertambah. Dan ini pasti akan mendatangkan lebih banyak masalah.
Sebagai contoh, sekiranya subsidi minyak ditarik balik. Ini pasti akan menyebabkan kenaikan kepada harga barangan dan perkhidmatan. Sudah pasti perbelanjaan rakyat juga akan meningkat. Sedangkan pada masa itu ramai dari kalangan rakyat yang akan mengalami potongan gaji, kehilangan pekerjaan dan kemerosotan perniagaan. Apa yang akan berlaku kepada mereka ? Kemana mereka hendak mengadu ? Dan apakah pilihan yang mereka ada ?
Kerajaan harus lebih bijaksana dalam menangani masalah ini. Ada banyak cara lagi untuk mengatasi masalah ekonomi secara makro. Apa yang penting disini, kerajaan hanya perlu bersikap lebih terbuka dalam mencari jalan penyelesaian. Dengar pandangan semua pihak. Hatta, pandangan anak kecil sekalipun. Belajarlah daripada kisah Singapura dilanggar todak. Apa yang pasti disini, langkah untuk mengurangkan kos perbelanjaan dengan cara menarik balik subsidi bukanlah satu langkah yang bijak.
Apapun strategi atau kaedah yang bakal digunakan sebenarnya tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Bahkan ianya akan mengundang kepada masalah lain yang lebih besar. Ini kerana ianya tidak menyelesaikan punca sebenar kepada masalah yang bakal dihadapi.
Masalah sebenarnya yang bakal terhidang didepan mata kita adalah masalah system ekonomi dan kewangan itu sendiri. Sistem yang dianuti diseluruh dunia ini sedang menghancurkan dunia dan kita semua. Sebuah system yang dibina untuk mendukung dan mengeksploitasikan kehendak dan kemahuan manusia pasti akan mendatangkan lebih banyak keburukkan daripada kebaikkan.
Untuk menyelamatkan diri dari musibah yang akan sentiasa didatangkan oleh system tersebut maka langkah kearah membentuk model baru ekonomi dan kewangan harus dimulai. Dan ianya harus dimulai dengan segera.
Langkah awal yang perlu diambil adalah dengan mewujudkan dan mengamalkan dwi sistem kewangan dalam Negara. Sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam. Langkah ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera dan dengan komitmen yang tinggi dari semua pihak yang terlibat.
Untuk memastikan agar pelaksanaannya dapat mencapai objektif dan memenuhi kehendak syarak dan prinsip-prinsip ajaran Islam, beberapa langkah penstukturan semula institusi-institusi kewangan Islam perlulah dilaksanakan. Ini bagi memastikan kesilapan dan kekeliruan yang berlaku dalam system perbankan Islam yang ada sekarang dapat dibendung dan diatasi. Sistem perbankan Islam dan produk-produk kewangan Islam yang ada pada masa ini tersasar jauh daripada matlamat, falsafah, prinsip dan nilai-nilai dalam ajaran Islam. Ini sebenarnya merugikan umat Islam khususnya dan rakyat amnya.
Ada beberapa langkah tertentu yang dianggap penting untuk diambil kira dan dilaksanakan bagi mencapai objektif, falsafah, prinsip dan nilai-nilai yang menjadi criteria penting dalam ekonomi dan kewangan Islam.
Langkah pertama, sebuah Baitul-Mal Nasional perlulah ditubuhkan. Ini untuk menyatukan segala aset-aset umat Islam, pengurusan dan pentadbiran serta menyelaraskan operasi semua baitul-mal dan institusi-institusi kewangan Islam diperingkat nasional dan negeri-negeri.
Langkah kedua adalah untuk mengintegrasikan dan mengkonsolidasikan semua institusi-institusi kewangan Islam agar kesemuanya berada dibawah kepemilikkan dan pengawasan Baitul-Mal Nasional. Ini termasuk Bank-bank Islam, syarikat-syarikat Takaful, Tabung Haji, asset-aset wakaf dan pajak gadai-pajak gadai Islam.
Langkah ketiga—sistem kewangan ini juga haruslah menggunakan ‘dinar emas’ sebagai matawang tunggalnya agar ianya benar-benar memenuhi tuntutan syariah dan ajaran Islam.
Langkah keempat pula adalah dengan memperluaskan lagi peranan mahkamah syariah. Mahkamah syariah harus berupaya menjadi tempat untuk mencari keadilan sekiranya berlaku pertikaian dalam amalan yang berkaitan dengan muamalat dan kewangan Islam.
Kita sedar akan masalah dan halangan-halangan yang bakal dihadapi untuk melaksanakan system tersebut. Terutamanya dari segi perundangan dan juga penyeragaman pentadbiran. Ini kerana pentadbiran institusi-institusi Islam pada masa ini berada dibawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri-negeri dan diketuai oleh DYMM Sultan dan para Gubenor.
Walau apapun masalah dan halangan yang bakal dihadapi, usaha untuk mewujudkan sebuah system kewangan model baru yang terpisah dan berbeza sama sekali serta tidak terpengaruh dengan amalan sistem yang sedia ada perlu dimulai. Inilah satu-satunya jalan keluar dari kemelut ekonomi yang bakal menimpa. Kita tak punya pilihan.

Sunday, May 30, 2010

Nota Buat PM - 2

Kenyataan YAB Dato Seri bahawa Model Baru Ekonomi masih belum dimuktamadkan sewaktu merasmikan Maljis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputra anjuran Majlis Perunding Melayu (MPM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29 Mei 2010 saya rasa melegakan banyak pihak terutama sekali diri saya sendiri.
Ini kerana menurut pendapat saya, sebuah gagasan yang begitu besar wajar memberikan peluang dan kesempatan yang seluas-luasnya kepada masyarakat dari segenap peringkat dan lapisan untuk berpartisipasi atau terlibat secara bebas dalam proses untuk memformulasikan dasar-dasar yang akan mempengaruhi kesejahteraan mereka.
Adalah mustahil sebuah model baru ekonomi atau apa sahaja gagasan yang diharapkan dapat memberikan keadilan kepada semua pihak akan dapat diwujudkan tanpa memberikan ruang dan juga kekuatan kepada mereka yang menderita dan merasa tertindas akibat jurang perbezaan kelas dan gaya hidup masa kini untuk mempengaruhi dasar-dasar yang bakal dilaksanakan.
Sesuatu gagasan itu tidak akan berjaya dan dapat mencapai sasarannya selama tidak berlakunya suatu atmosfera atau iklim politik yang sihat yang berdasarkan kepada prinsip kemerdekaan dari rasa takut dan upaya untuk menampung partisipasi rakyat maka dikhuatiri gagasan tersebut akan hanya menjadi hiasan dan skema politik semata-mata.
Ini kerana untuk melaksanakan suatu proses transformasi sosio-ekonomi yang adil dan mensejahterakan dalam sesebuah negara, sebuah orde politik yang sihat perlu wujud dan terbangun. Dan ini seharusnya menjadi keutamaan kepada pemerintah dan semua pihak yang terlibat sekiranya berhasrat untuk melaksanakan proses transformasi sosio-ekonomi dalm sesebuah negara.
Realitinya di Malaysia pada hari ini, kita telah memiliki atmosfera atau iklim yang sesuai yang memungkinkan sebuah orde politik yang sehat dan sesuai dengan semangat Islam dapat ditegakkan dan dibangunkan. Apa yang diperlukan hanyalah iltizam dari pihak pemerintah untuk memastikan keadaan itu wujud dan berlaku dinegara ini.
Akan sangat mengecewakan sekiranya dalam sebuah Negara yang majoriti rakyatnya menganuti ajaran agama Islam dan meyakini bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh tetapi tidak mengunakan kaedah dan strategi serta tidak menerapkan nilai-nilai yang sebagaimana telah digariskan dan diajar dalam Islam untuk membangunkan negaranya.
Islam memiliki kriteria yang cermat bagi sebuah pemerintahan yang baik. Kriteria pertama adalah bahawa pemerintah itu bertanggung-jawab kepada Allah, Tuhan yang memiliki hak untuk menetapkan garis-garis besar perilaku manusia. Ini membawa maksud bahawa otoriti pemerintah itu terbatas dan tidak mutlak. Ini menuntut agar pemerintah berpegang teguh kepada syariat dan menjalankan tugasnya dengan jujur bagi mewujudkan kebahagiaan dan kesejahteraan rakyatnya dengan tindakan yang perlu dan sesuai termasuk menggunakan sumber-sumber daya yang efisien dan merata.
Kriteria yang kedua adalah bahawa pemerintah itu harus bertanggung-jawab kepada rakyat. Ini kerana pemerintahan adalah suatu amanah—suatu amanah dari Allah dan juga dari rakyat—yang telah dipertanggung-jawabkan kepada mereka yang mampu untuk memikulnya. Pemerintah harus bertanggung-jawab kepada rakyat dalam merealisasikan aspirasinya sesuai dengan persyaratan amanat. Pemerintah tidak akan berjaya memenuhi peranannya kecuali mereka bersikap terbuka kepada saran dan kritik rakyatnya.
Kriteria yang ketiga pula adalah wujudnya sebuah atmosfera atau iklim musyawarah sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Islam mewajuibkan pemerintah untuk menangani urusan kolektif umat dengan proses konsultasi yang saling menguntungkan. Kerana itu, konsultasi dengan semua pihak dalam masalah-masalah tersebut tidak diserahkan kepada kehendak penguasa sahaja. Ini merupakan prinsip hidup secara kolektif dalam Islam yang mapan dan ditekankan olih para ulamak sehingga ke hari ini.
Apa yang sebenarnya dituntut disini adalah suatu badan atau lembaga otonomi yang membahas semua isu yang berkaitan secara bebas dan tanpa rasa takut dalam kerangka syariat, dan satu implementasi yang jujur olih para eksekutif terhadap semua dasar yang telah diputuskan. Bukan sekadar satu bentuk yang bersifat kosmetik yang hanya berfungsi sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan para penguasa.
Dan kriteria keempat kepada sebuah orde politik yang sihat adalah persamaan hak semua individu dihadapan undang-undang dan berlakunya keadilan yang merata seperti yang dituntut olih Al-Quran. Hukum harus ditegakkan dan diterapkan secara merata kepada semua pihak tanpa memperdulikan status, kekayaan atau posisi seseorang dalam hiraki social atau pemerintahan. Segala bentuk penyimpangan dari kaedah ini akan menyebabkan berlakunya ketidak-adilan dan eksploitasi (zalim).
Kriteria-kriteria ini sekiranya dapat dipenuhi akan berupaya membentuk sebuah orde politik yang sihat dan kuat. Hanya dengan kekuatan inilah sesuatu proses transformasi sosio- ekonomi itu dapat diandalkan keberhasilan dan kejayaannya.
Kesedaran inilah yang perlu diterapkan dan wujud dikalangan mereka-mereka yang sedang memegang tampuk kekuasaan dan pemerintahan serta pihak-pihak yang berada disekeliling mereka. Semoga dengan wujudnya sebuah orde politik yang sihat akan dapat menjamin kejayaan proses transformasi sosio-ekonomi yang ingin dilaksanakan.

Monday, May 24, 2010

Nota Buat PM

Nota Buat PM

Nota ini saya tujukan khas buat YAB Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi serta para pembaca budiman yang sedang tercari-cari jawapan kepada masalah ekonomi yang sedang melanda dunia pada hari ini.
YAB Dato Seri,
Saya Mohd Ramalan Yunus, Pengerusi World Islamic Charmber of Commerce (sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dibentuk khusus untuk menjadi regulator dan promoter kepada sistem ekonomi dan kewangan Islam) merasa terpanggil untuk memberi reaksi terhadap saranan YAB Dato’ Seri dalam ucaptama Dato Seri di Persidangan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada hari Rabu 19 Mei 2010.
Merujuk kepada ucaptama tersebut, Dato Seri telah menyarankan bahawa Negara-negara Islam perlu mewujudkan satu model baru ekonomi bagi memenuhi keperluan umat Islam sedunia dan meneruskan peranan untuk terus membangunkan, mengembangkan dan mempromosi sistem perbankan Islam keseluruh dunia kerana ia merupakan teras kepada masa depan Negara-negara Islam.
Bagi pihak WICC, kami mengalu-alukan dan menyokong penuh saranan tersebut. Ini kerana kami merasakan bahawa saranan tersebut dilontarkan tepat pada masa yang sesuai. Disaat dunia sedang tercari-cari satu formula atau pun alternatif baru kepada sistem ekonomi yang sedia ada. Sebagaimana yang telah diketahui umum, sistem kapitalis yang dianuti sekarang telah terbukti gagal dalam membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada dunia. Sistem tersebut telah gagal dari semua dimensi. Baik dari segi kewangan, sosial mahu pun alam sekitar.
Kalau kita melihat dan menilai semula pengalaman Jepun yang lebih dahulu dilanda krisis kewangan yang hampir serupa dengan apa yang sedang dilalui di Amerika dan Eropah sejak tahun 1989 sehingga kini (sudah 20 tahun) masih belum pulih sepenuhnya. Sedangkan sewaktu Jepun melalui krisis tersebut, Amerika dan Eropah sedang berada dikemuncak kemakmuran ekonomi mereka. Diwaktu, dimana Amerika dan Eropah masih mampu menghulurkan bantuan dan menyediakan pasaran yang besar buat Jepun. Bayangkan apakah yang bakal terjadi sedangkan kini Amerika dan Eropah sendiri yang sedang melalui krisis yang sama. Apakah dunia mampu pulih dalam tempoh 100 tahun akan datang ?
Inilah persoalan besar yang menghantui semua pemimpin-pemimpin Negara, dan semua pakar-pakar ekonomi dan kewangan dunia.
Menurut pendapat kami, dunia sendiri secara keseluruhannya memerlukan satu model baru ekonomi yang benar-benar mampu membawa kesejahteraan kepada seluruh warganya bukan sekadar memenuhi keperluan umat Islam walaupun kita sedar bahawa umat Islamlah yang sebenarnya lebih memerlukan mekanisma baru tersebut bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah.
WICC merasakan bahawa model baru ekonomi yang ingin dibentuk haruslah berlandaskan kepada syariah dan kehendak Islam dan secara menyeluruh. Baik dari segi matlamat, falsafah, prinsip dan perlaksanaannya. Dalam usaha kearah membentuk model baru ini, ada beberapa isu pokok yang perlu dititik beratkan. Isu seperti pembentukkan satu system kewangan baru yang benar-benar bebas riba haruslah menjadi keutamaan. Sistem kewangan tersebut bukan hanya bebas riba malah ianya juga harus mendokong matlamat, falsafah dan prinsip-prinsipnya serta berkeupayaan untuk menterjemahkannya secara praktik bagi mempastikan kejayaannya.
Sistem kewangan yang menyeluruh dan bebas riba yang benar-benar mematuhi dan memenuhi lunas-lunas kehendak syariah Islam hendaklah dibentuk sebagai langkah pertama dalam pembentukkan model baru ekonomi alternatif. Ianya bukan sekadar membangun dan mengembangkan sistem perbankan Islam sebagaimana yang berlaku pada pada waktu ini. Ini kerana system perbankan Islam yang sedia ada dan produk-produk yang telah dibangunkan masih jauh dari memenuhi kehendak syariah. Apatah lagi untuk mencapai matlamatnya.
Untuk mencapai matlamat yang berbeza, model dan system yang ingin dibangunkan juga harus menggunakan orientasi dan kaedah yang berbeza. Apa yang berlaku sekarang, orientasi dan kaedahnya tetap sama cuma jenamanya yang berbeza. Sudah pasti ianya tidak akan membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Kekeliruan ini sekiranya tidak ditangani dengan baik dan diselesaikan dengan bijaksana, ianya akan mengundang masalah dan bencana yang lebih besar lagi dimasa akan datang.
Riba, sebagaimana yang diterangkan dalam Islam, adalah merupakan punca utama kepada segala kebobrokkan dan kebejatan yang berlaku dalam sistem ekonomi dan kewangan pada masa kini. Persoalan mengenai riba ini, ianya bukan hanya diharamkan didalam Islam malahan juga oleh agama Kristian dan Yahudi. Jadi sudah sewajarnya ianya tidak harus dibenarkan penggunaannya dalam sistem ekonomi dan kewangan model baru yang ingin dibentuk.
Penggunaan matawang tunggal juga perlu diberi perhatian yang khusus. Ini kerana penggunaan multi currency atau matawang pelbagai hanya mengundang lebih banyak masalah dan krisis. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya perdagangan matawang yang menyebabkan berlakunya susut nilai akibat aktiviti penawaran dan permintaan di pasaran.
Pendidikan juga harus seiring dengan pembentukkan model baru tersebut. Pemupukan kesedaran dan kefahaman disemua peringkat adalah amat penting. Ini kerana pada akhirnya merekalah yang akan menjadi pengguna dan penerima kepada model dan sistem tersebut. Mereka harus yakin dan menjadi penganut kepada sistem tersebut bukan sekadar menjadi pengikut.
Untuk makluman Dato Seri, langkah awal kearah pembentukkan model ekonomi dan kewangan baru telah pun dimulai dengan tertubuhnya Dewan Perdagangan Islam Dunia (WICC) dan Baitul-Mal Dunia (WBI) pada pertengahan tahun 2009. Walaupun kwujudannya masih belum disedari dan dirasai oleh banyak pihak namun yang lebih penting disini adalah usaha dan komitmen kearah merealisasikan impian dan cita-cita untuk membangunkan sebuah sistem yang mampu mensejahterakan warga dunia sudah pun bermula.
Benar, sebagaimana kata Dato Seri, OIC harus memainkan peranan yang besar dalam usaha ini. OIC juga harus menyokong dan mendokong penuh usaha-usaha seperti ini. Malahan sebenarnya bukan sekadar OIC tapi seluruh organisasi, institusi dan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan Negara harus melibatkan diri dalam usaha tersebut. Ini kerana masalah-masalah yang sedang dihadapi kini bukan hanya masalah umat Islam bahkan masalah seluruh warga dunia.
WICC ditubuhkan sebagai sebuah badan dunia yang diharapkan akan dapat diiktiraf dan dapat berperanan sebagai hisbah atau pun regulator dalam sistem ekonomi dan pasaran Islam. Inilah objektif utama penubuhannya. Ini kerana Islam menolak konsep pasaran bebas atau pun ‘un-regulated market’. Ini bagi memastikan tidak berlakunya monopoli dan manipulasi dalam pasaran. Serta ianya juga dapat mengurangkan berlakunya ekploitasi yang keterlaluan dalam pasaran.
WICC juga dimasa akan datang diharap dapat mewujudksn sebuah institusi yang dapat dijadikan platfom oleh para pengguna dan pemain dipasaran untuk mencari dan mendapatkan keadilan sekiranya berlaku perselisihan dan pertikaian dalam menjalankan aktiviti urusniaga dipasaran.
Manakala Baitul-Mal Dunia (WBI) pula akan perperanan sebagai pusat perbendaharaan, pusat pembikinan dasar dan menjadi pengawas kepada sistem kewangan dan matawang tunggal yang akan digunakan dalam pasaran Islam. Ianya juga akan menjadi platform tunggal dalam sistem kewangan Islam.
Dengan adanya Baitul-Mal Dunia, maka sebuah sistem kewangan yang terangkum akan dapat diwujudkan. Maka akan terwujudlah sebuah sistem kewangan yang mempunyai satu matlamat, satu dasar dan seragam dari segi peraturan dan pelaksanaannya. Ini mampu menjadikan sistem kewangan tersebut lebih terkawal, efektif dan efisien.
Dengan tertubuhnya dua institusi tersebut pada waktu ini, langkah-langkah awal untuk mewujudkan sebuah model baru ekonomi dan kewangan akan dapat dilaksanakan.
Harapan kami, kami ingin menawarkan diri untuk terlibat sama dalam membantu usaha Dato Seri kearah merealisasikan pembentukkan satu model baru ekonomi bagi kepentingan dan kesejahteraan bersama.

‘ Teruskan Perjuangan Dato Seri ! ‘

Sunday, May 2, 2010

PDRM OH ! PDRM

PDRM OH ! PDRM


Apa yang boleh kita katakan mengenai kejadian yang menimpa adik Aminulrashid Amzah. Seorang kanak-kanak yang baru meningkat remaja berusia 15 tahun telah ditembak mati oleh polis di seksyen 11, shah alam pada pagi Isnin 26 April 2010. Tragis dan memilukan ! Itu saja. Satu kejadian yang disifatkan sebagai satu kesalahan trafik oleh seorang remaja berakhir dengan kejadian tembakkan dari pihak polis dan telah menjadi penyebab kepada kematiannya.

Apa yang menarik, belum pun sempat penyiasatan dibuat secara terperinci dan menyeluruh, Datuk Khalid, Ketua Polis Selangor dalam kenyataannya kepada pihak media menyatakan bahawa remaja tersebut disyaki ahli kumpulan penyamun dan pihak polis telah menemui senjata berupa parang didalam kereta tersebut.

Menyedari bahawa kejadian tersebut melibatkan seorang kanak-kanak remaja yang masih bersekolah dan menjangkakan bahawa isu tersebut akan menarik perhatian ramai, Kementerian Dalam Negeri telah bertindak pantas melalui Menterinya YB Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein dengan mengumumkan akan menubuhkan sebuah panel khas yang akan diterajui oleh Timbalan Menterinya iaitu Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk memantau penyiasatan kes tersebut agar ianya dijalankan secara adil dan telus.

Juga kehadiran Dato Seri Noh Omar selaku wakil badan Perhubungan UMNO Selangor dan wakil kabinet Dato Seri Najib Tun Rajib kerumah keluarga mangsa nyata berjaya menjadi penawar kesedihan keluarga tersebut dan melegakan banyak pihak.

Syabas kepada kerajaan pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak. Rakyat benar-benar telah didahulukan. Banyak pihak yang merasa gembira dengan perkembangan tersebut.

Ironinya, perkembangan ini dilihat tidak mengembirakan kepimpinan di PDRM. Sekali lagi Datuk Khalid tampil kepada media untuk memberi peringatan kepada semua pihak khususnya ahli-ahli politik agar tidak mensensasikan kejadian tersebut dan mempolitikkan isu tersebut.

Kenapa Datuk Khalid melatah ? Bukankah itu yang seharusnya dilakukan oleh orang-orang politik. Membela rakyat. Memperjuangkan nasib rakyat agar mereka mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya. Kalau tindakan-tindakan tersebut dianggap salah lalu apakah sebenarnya tugas dan peranan orang-orang politik ?

Lebih mengeruhkan lagi keaadaan adalah kenyataan Ketua polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilihat seperti mengugut rakyat bila beliau mengatakan akan memanggil kesemua anggota-anggotanya dari menjalankan tugas sekiranya rakyat mampu melindungi diri mereka sendiri.

Menghairankan ! Kenapa sampai begitu sekali kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan. Tidak ada kah cara yang lebih diplomasi, perkataan-perkataan yang lebih manis dan sikap yang lebih berhemah yang mampu memperlihatkan karisma dan kematangan dalam menanggani sesuatu krisis. Kenapa memilih untuk bersikap angkuh dan bongkak dalam mendepani situasi-situasi seperti ini ? Jadi sekarang siapakah yang sebenarnya yang membuatkan isu ini menjadi semakin sensasi ?

Sebagai sebuah agensi penguatkuasa undang-undang yang berurusan langsung dengan masyarakat seharusnya PDRM lebih peka dengan kehendak dan suara hati rakyat. Alangkah malangnya nasib rakyat di negara ini sekiranya PDRM tidak mampu dan tidak berupaya untuk mendengar suara hati mereka.

Untuk makluman kepimpinan di PDRM, rakyat sebenarnya hanya ingin merasa selamat hidup didalam Negara ini. Dan kepada mereka-mereka yang melakukan kesalahan dan jenayah adililah mereka dan hukumlah mereka dengan cara yang wajar dan setimpal dengan kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh mereka. Jangan sampai ada yang teraniaya dan dizalimi dalam proses tersebut.

Besar sangatkah permintaan mereka ? Sehingga ada waktu-waktunya mereka diperlakukan sepeti orang yang tidak bermaruah, tidak berpelajaran dan tidak tahu mengenai hak-hak mereka sebagai rakyat didalam sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat.

Apabila rakyat menjerit mengatakan bahawa PDRM rasuah, berlagak seperti samseng, melakukan peras ugut, ganas dan sebagainya sudah pasti PDRM melenting. Namun sekiranya kita bersikap terbuka dan berlapang dada, saya pasti mereka ada asas yang kuat untuk bersikap seperti itu. Janganlah cepat melatah. Sebaliknya ambillah semua rungutan, komen dan teguran daripada rakyat itu sebagai cermin untuk menilai diri dalam proses transformasi untuk sebuah organisasi yang lebih dihormati dan disegani dimasa yang akan dating. Dalam sebuah Negara yang mengamalkan system Demokrasi seharusnya tidak ada satu pun organisasi dan institusi yang kebal dari sebarang komen dan teguran.

Ingatlah, rakyat hari ini semakin celik dan pandai berfikir. Layanilah mereka dengan jiwa yang besar. Contohilah pimpinan Negara iaitu Dato Seri Najib Tun Razak. Beliau sentiasa kelihatan tenang, ramah, ceria dan bertenaga. Beliau berupaya memperagakan diri beliau dengan gaya yang cukup menarik dan menawan apabila berhadapan dengan media dan sewaktu tampil didepan rakyat. Tutur kata dan bahasa yang digunakan cukup menyenangkan. Beliau sentiasa berada dibawah kawalan diri yang cukup baik walaupun kita semua tahu bahawa beliau sedang diuji dengan cabaran yang cukup besar dalam semua dimensi.

Jangan dicabar kesabaran rakyat. Dalam system Demokrasi kuasa rakyat menentukan segalanya. Apalah sangat kuasa yang ada pada PDRM jika dibandingkan dengan kuasa rakyat. PDRM hanyalah sebuah agensi kerajaan. PDRM hanya salah satu agensi dibawah kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang pertanggung-jawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang dengan tugas hakiki untuk melakukan pencegahan jenayah.

PDRM bukan kerajaan. Hanya merupakan salah sebuah agensi yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan mendokong hala tuju yang sudah ditentukan oleh kerajaan. PDRM harus lebih bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan teguran dari semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin kerajaan. Ini bagi mempastikan PDRM sentiasa berada pada landasannya yang sebenar dalam melaksanakan tugas dan tanggung-jawabnya dan tidak menyalahgunakan kuasa yang sudah diamanahkan kepada mereka.

Saturday, February 13, 2010

AGENDA BARU DUNIA

Prakata

Sudah 10 tahun kita melalui abad baru ini. Sudah banyak kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tempoh sedekad ini. Sama ada yang kita lalui mahu pun yang sekadar kita tonton di kaca TV. Kita tinggalkan dahulu kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa kecil yang kurang mendapat liputan dan publisiti atau pun perhatian masyarakat dunia. Kita lihat sahaja peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di seluruh dunia. Peristiwa yang menjadi perhatian dan perbincangan masyarakat dunia sehingga ke hari ini. Peristiwa yang meninggalkan kesan yang mendalam dan mampu mengubah wajah dunia.

Kita tinggalkan dulu masalah pendatang asing, penyeludupan manusia, pengangguran yang semakin banyak, kejadian jenayah yang semakin meningkat, terrorisme, masalah penagihan dadah, masalah sosial di kalangan remaja dan segala macam masalah yang kalau hendak kita senaraikan rasanya macam tidak mampu hendak kita senaraikan kerana terlalu panjang senarainya.

Mari kita lihat antara peristiwa-peristiwa besar yang tersenarai seperti daripada runtuhnya Menara Kembar WTC di New York, peperangan di Afghanistan dan Iraq, tsunami di Aceh, banjir dan gempa bumi disana sini, krisis kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah, perlantikkan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam yang pertama di Amerika Syarikat sehinggalah kepada yang terkini gempa bumi di Haiti. Tidak ketinggalan juga kes-kes kebuluran di sana sini terutamanya di benua Afrika yang berterusan tanpa ada penghujungnya.

Ini adalah peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dan kesan yang timbul daripada peristiwa tersebut mampu mengubah wajah dunia. Sebagai contoh keruntuhan menara kembar WTC. Dunia berubah wajah dengan sekelip mata apabila Amerika Syarikat melancarkan perang terhadap mereka-mereka yang di labelkan penganas olih Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu kuatnya.

Apakah segala-galanya ini berlaku secara tidak sengaja atau memang ada kesan daripada perbuatan tangan-tangan manusia. Apakah pelajaran dan maksud yang tersirat di sebalik semua ini. Apakah kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan sehingga kejadian-kejadian dan peristiwa tersebut berlaku di hadapan mata kita. Sudahkah kita timba hikmah disebalik segala kejadian dan peristiwa yang berlaku itu. Atau kita hanya menganggap bahawa itu hanyalah satu kemalangan dan tragedi yang tidak dapat kita elakkan. Dan kita semua hanya sekadar perlu menghulurkan bantuan dan simpati kepada mangsa-mangsa yang terlibat tanpa perlu berfikir dan berusaha untuk mencari jawapan disebalik persoalan-persoalan yang timbul daripada kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa tersebut.

Kita tidak akan mampu menanggani segala kejadian dan peristiwa tersebut daripada terus berlaku tanpa memahami punca permasalahan yang sebenar.

Wednesday, February 10, 2010

The New Agenda





12 Februari 2010

Pembaca budiman,

Selamat datang dan salam sejahtera saya ucapkan kepada anda semua yang sudi berkunjung ke laman saya. Dengan rendah diri saya mengalu-alukan kedatangan anda semua. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada saya kerana anda semua sudi menziarahi laman saya yang tidak sepertinya ini. Harapan saya semoga anda semua beroleh kesejahteraan dan manfaat dalam mengikuti segala tulisan-tulisan saya dilaman ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya maka lahir lahirlah laman ini di persada maya untuk tatapan anda semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhamad Rasulullah SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda yang dikasihi.

Apa yang ingin saya nukilkan disini segalanya adalah berdasarkan kepada harapan, angan-angan, impian, cita-cita dan perjuangan saya untuk melihat dunia ini menjadi sebuah dunia yang aman makmur dan sejahtera buat kita semua sehingga hari dimana dunia ini akan dihancurkan dan kita semua akan dihadapkan dimahkamah yang Maha Agung untuk diadili akan segala amal perbuatan kita diatas muka bumi yang telah diamanahkan kepada kita untuk kita tadbir dengan adil dan bijaksana untuk kemakmuran sejagat.

Segala buah fikiran dan pendapat yang tertera disini adalah merupakan petunjuk daripada Allah SWT dan kepadaNya jualah saya kembalikan segalanya. Semoga segala amal dan perbuatan ini mendapat rahmat dan keredhaannya. Hanya keredhaanNya jualah yang menjadi puncak segala matlamat dan impian, segala amal dan perbuatan. CintaNya jualah yang dihajati untuk menjadi kekuatan disepanjang pengabdian dalam medan perjuangan ini.

Disamping pendapat dan buah fikiran yang ingin di kongsi bersama, laman ini juga bertujuan untuk mempromosi pra-pelancaran sebuah organisasi baru yang baru ditubuhkan iaitu World Islamic Charmber of Commerce (WICC) dengan visi dan misinya untuk menjadi regulator dan promoter sistem ekonomi dan kewangan Islam moden yang benar-benar menepati kehendak agama dan shariah Islam.

Kewujudan WICC diharapkan dapat memberi impian dan harapan baru kepada seluruh umat manusia kerana memandangkan pada hari ini bahawa sistem kapitalis yang dianuti diseluruh dunia sudah terbukti gagal membawa kemakmuran kepada dunia. Ekonomi Amerika Syarikat yang diakui gagah dan hebat oleh dunia dan menjadi lambang keangkuhan sistem tersebut juga gugur menyenbah bumi. Ekonomi yang kononnya diurus dan ditadbir oleh the best brain in the world gagal mempertahankan supremacy sistem kapitalis. Kini sudah jelas terbukti bahawa sistem tersebut sudah gagal pada semua dimensinya. Kewangan, alam sekitar dan sosial. Dunia sedang menuju kepada kehancuran hari demi hari kerana melaksanakan dan mengamalkan sistem tersebut.

Manakala di satu sisi lagi, kita melihat kemunculan sistem perbankan dan kewangan Islam yang semakin diakui dan diminati oleh semua pihak diseluruh dunia. Namun demikian, pelaksanaan sistem perbankan dan kewangan Islam yang ada pada hari ini dilihat agak kurang menepati kehendak agama dan gagal membentuk keseragaman pada peringkat industri dan amalan yang berbeza-beza walaupun di negara-negara Islam sendiri. Negara-negara Islam tersebut kelihatannya belum mampu mencapai kata sepakat dalam amalan dan pelaksanaannya.

Cabaran dan halangan yang wujud di dalam industri perbankan Islam sekiranya gagal ditangani dengan baik dengan menggunakan kaedah yang tepat sebagaimana yang disarankan didalam Islam tidak mungkin mencapai matlamatnya untuk memakmurkan ummah. Apatah lagi sekiranya pelaksanaannya masih lagi beroperasi di atas platfom sistem konvensional yang sedia ada.

Amalan dan pelaksanaannya perbankan Islam pada hari ini tidak ubah seperti orang non-Islam yang memeluk Islam atas dasar ingin berkahwin dengan wanita Islam. Pemikiran dan nilai yang menjadi pegangan masih bukan pemikiran dan nilai Islam. Mana mungkin amal dan perbuatannya akan sama dengan orang yang memeluk Islam atas dasar iman kepada Allah SWT dan kepercayaan terhadap kesempurnaan shariah Islam yang berupaya mengatur kehidupan manusia di dunia dan seterusnya dapat membawa kebahagian di akhirat.

Di harapkan dengan tertubuhnya WICC kita akan dapat membentuk dan mewujudkan satu sistem kewangan dan ekonomi yang bebas riba, bebas spekulasi dan manupulasi, dapat memenuhi keperluan manusia bukan menuruti kemahuan manusia, merapatkan jurang kemiskinan dan seterusnya berupaya mewujudkan sebuah dunia yang adil dan makmur demi kesejahteraan semua warganya tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Inilah perjuangan ku. Kemakmuran sejagat dan persaudaraan sejagat yang menjadi taruhan kepada sebuah pengabdian dalam memperjuangkan cinta yang hakiki kepada yang Maha Mencintai.


Selamat membaca !!!