Sunday, May 30, 2010

Nota Buat PM - 2

Kenyataan YAB Dato Seri bahawa Model Baru Ekonomi masih belum dimuktamadkan sewaktu merasmikan Maljis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputra anjuran Majlis Perunding Melayu (MPM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29 Mei 2010 saya rasa melegakan banyak pihak terutama sekali diri saya sendiri.
Ini kerana menurut pendapat saya, sebuah gagasan yang begitu besar wajar memberikan peluang dan kesempatan yang seluas-luasnya kepada masyarakat dari segenap peringkat dan lapisan untuk berpartisipasi atau terlibat secara bebas dalam proses untuk memformulasikan dasar-dasar yang akan mempengaruhi kesejahteraan mereka.
Adalah mustahil sebuah model baru ekonomi atau apa sahaja gagasan yang diharapkan dapat memberikan keadilan kepada semua pihak akan dapat diwujudkan tanpa memberikan ruang dan juga kekuatan kepada mereka yang menderita dan merasa tertindas akibat jurang perbezaan kelas dan gaya hidup masa kini untuk mempengaruhi dasar-dasar yang bakal dilaksanakan.
Sesuatu gagasan itu tidak akan berjaya dan dapat mencapai sasarannya selama tidak berlakunya suatu atmosfera atau iklim politik yang sihat yang berdasarkan kepada prinsip kemerdekaan dari rasa takut dan upaya untuk menampung partisipasi rakyat maka dikhuatiri gagasan tersebut akan hanya menjadi hiasan dan skema politik semata-mata.
Ini kerana untuk melaksanakan suatu proses transformasi sosio-ekonomi yang adil dan mensejahterakan dalam sesebuah negara, sebuah orde politik yang sihat perlu wujud dan terbangun. Dan ini seharusnya menjadi keutamaan kepada pemerintah dan semua pihak yang terlibat sekiranya berhasrat untuk melaksanakan proses transformasi sosio-ekonomi dalm sesebuah negara.
Realitinya di Malaysia pada hari ini, kita telah memiliki atmosfera atau iklim yang sesuai yang memungkinkan sebuah orde politik yang sehat dan sesuai dengan semangat Islam dapat ditegakkan dan dibangunkan. Apa yang diperlukan hanyalah iltizam dari pihak pemerintah untuk memastikan keadaan itu wujud dan berlaku dinegara ini.
Akan sangat mengecewakan sekiranya dalam sebuah Negara yang majoriti rakyatnya menganuti ajaran agama Islam dan meyakini bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh tetapi tidak mengunakan kaedah dan strategi serta tidak menerapkan nilai-nilai yang sebagaimana telah digariskan dan diajar dalam Islam untuk membangunkan negaranya.
Islam memiliki kriteria yang cermat bagi sebuah pemerintahan yang baik. Kriteria pertama adalah bahawa pemerintah itu bertanggung-jawab kepada Allah, Tuhan yang memiliki hak untuk menetapkan garis-garis besar perilaku manusia. Ini membawa maksud bahawa otoriti pemerintah itu terbatas dan tidak mutlak. Ini menuntut agar pemerintah berpegang teguh kepada syariat dan menjalankan tugasnya dengan jujur bagi mewujudkan kebahagiaan dan kesejahteraan rakyatnya dengan tindakan yang perlu dan sesuai termasuk menggunakan sumber-sumber daya yang efisien dan merata.
Kriteria yang kedua adalah bahawa pemerintah itu harus bertanggung-jawab kepada rakyat. Ini kerana pemerintahan adalah suatu amanah—suatu amanah dari Allah dan juga dari rakyat—yang telah dipertanggung-jawabkan kepada mereka yang mampu untuk memikulnya. Pemerintah harus bertanggung-jawab kepada rakyat dalam merealisasikan aspirasinya sesuai dengan persyaratan amanat. Pemerintah tidak akan berjaya memenuhi peranannya kecuali mereka bersikap terbuka kepada saran dan kritik rakyatnya.
Kriteria yang ketiga pula adalah wujudnya sebuah atmosfera atau iklim musyawarah sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Islam mewajuibkan pemerintah untuk menangani urusan kolektif umat dengan proses konsultasi yang saling menguntungkan. Kerana itu, konsultasi dengan semua pihak dalam masalah-masalah tersebut tidak diserahkan kepada kehendak penguasa sahaja. Ini merupakan prinsip hidup secara kolektif dalam Islam yang mapan dan ditekankan olih para ulamak sehingga ke hari ini.
Apa yang sebenarnya dituntut disini adalah suatu badan atau lembaga otonomi yang membahas semua isu yang berkaitan secara bebas dan tanpa rasa takut dalam kerangka syariat, dan satu implementasi yang jujur olih para eksekutif terhadap semua dasar yang telah diputuskan. Bukan sekadar satu bentuk yang bersifat kosmetik yang hanya berfungsi sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan para penguasa.
Dan kriteria keempat kepada sebuah orde politik yang sihat adalah persamaan hak semua individu dihadapan undang-undang dan berlakunya keadilan yang merata seperti yang dituntut olih Al-Quran. Hukum harus ditegakkan dan diterapkan secara merata kepada semua pihak tanpa memperdulikan status, kekayaan atau posisi seseorang dalam hiraki social atau pemerintahan. Segala bentuk penyimpangan dari kaedah ini akan menyebabkan berlakunya ketidak-adilan dan eksploitasi (zalim).
Kriteria-kriteria ini sekiranya dapat dipenuhi akan berupaya membentuk sebuah orde politik yang sihat dan kuat. Hanya dengan kekuatan inilah sesuatu proses transformasi sosio- ekonomi itu dapat diandalkan keberhasilan dan kejayaannya.
Kesedaran inilah yang perlu diterapkan dan wujud dikalangan mereka-mereka yang sedang memegang tampuk kekuasaan dan pemerintahan serta pihak-pihak yang berada disekeliling mereka. Semoga dengan wujudnya sebuah orde politik yang sihat akan dapat menjamin kejayaan proses transformasi sosio-ekonomi yang ingin dilaksanakan.

No comments: