Tuesday, June 1, 2010

Nota Buat PM - 3

Mulai tahun 2010 ini, dunia akan mengalami krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah. Apa yang sedang dialami oleh Greece akan terus merebak ke negara-negara lain. Selepas ini dijangkakan negara seperti Sepanyol dan Portugis pula yang akan mengalami nasib yang sama. Tidak ketinggalan juga negara-negara besar seperti British dan Perancis hanya menunggu masa sahaja. Begitu juga dengan negara-negara Eropah yang lain.
Di negara kita sendiri misalnya, Dato Seri Idris Jala iaitu Menteri Tak Berpotfolio di JPM telah membuat kenyataan sekiranya kita tidak mengambil langkah-langkah yang drastik, untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, besar kemungkinan dalam tempoh 9 tahun negara kita akan jatuh muflis.
Pengurangan kos perbelanjaan hanyalah satu kaedah untuk memperpanjangkan jangka hayat atau daya tahan kita. Walaupun ianya kelihatan efisien pada mata ramai orang sekiranya dilaksanakan tetapi sebenarnya ia bukan merupakan jalan penyelesaian. Ia akan menjadi punca kepada masalah yang lebih besar sekiranya dilaksanakan.
Kaedah tersebut lebih sesuai dilaksanakan diperingkat mikro bukan makro. Ini kerana masalah sebenar yang bakal kita hadapi adalah jauh lebih besar daripada apa yang kita jangkakan. Kita bukan hanya perlu melihat kepada masalah yang berlaku tapi mengenal pasti punca sebenar kepada masalah tersebut.
Kita maklum bahawa setiap sekolah perniagaan didunia akan mengajar kita untuk mengurangkan kos bagi menghadapi kegawatan ekonomi. Namun demikian sekiranya langkah tersebut dilaksanakan juga oleh pihak kerajaan, ianya pasti akan membebankan rakyat. Perbelanjaan dipihak rakyat pula yang akan bertambah. Dan ini pasti akan mendatangkan lebih banyak masalah.
Sebagai contoh, sekiranya subsidi minyak ditarik balik. Ini pasti akan menyebabkan kenaikan kepada harga barangan dan perkhidmatan. Sudah pasti perbelanjaan rakyat juga akan meningkat. Sedangkan pada masa itu ramai dari kalangan rakyat yang akan mengalami potongan gaji, kehilangan pekerjaan dan kemerosotan perniagaan. Apa yang akan berlaku kepada mereka ? Kemana mereka hendak mengadu ? Dan apakah pilihan yang mereka ada ?
Kerajaan harus lebih bijaksana dalam menangani masalah ini. Ada banyak cara lagi untuk mengatasi masalah ekonomi secara makro. Apa yang penting disini, kerajaan hanya perlu bersikap lebih terbuka dalam mencari jalan penyelesaian. Dengar pandangan semua pihak. Hatta, pandangan anak kecil sekalipun. Belajarlah daripada kisah Singapura dilanggar todak. Apa yang pasti disini, langkah untuk mengurangkan kos perbelanjaan dengan cara menarik balik subsidi bukanlah satu langkah yang bijak.
Apapun strategi atau kaedah yang bakal digunakan sebenarnya tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Bahkan ianya akan mengundang kepada masalah lain yang lebih besar. Ini kerana ianya tidak menyelesaikan punca sebenar kepada masalah yang bakal dihadapi.
Masalah sebenarnya yang bakal terhidang didepan mata kita adalah masalah system ekonomi dan kewangan itu sendiri. Sistem yang dianuti diseluruh dunia ini sedang menghancurkan dunia dan kita semua. Sebuah system yang dibina untuk mendukung dan mengeksploitasikan kehendak dan kemahuan manusia pasti akan mendatangkan lebih banyak keburukkan daripada kebaikkan.
Untuk menyelamatkan diri dari musibah yang akan sentiasa didatangkan oleh system tersebut maka langkah kearah membentuk model baru ekonomi dan kewangan harus dimulai. Dan ianya harus dimulai dengan segera.
Langkah awal yang perlu diambil adalah dengan mewujudkan dan mengamalkan dwi sistem kewangan dalam Negara. Sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam. Langkah ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera dan dengan komitmen yang tinggi dari semua pihak yang terlibat.
Untuk memastikan agar pelaksanaannya dapat mencapai objektif dan memenuhi kehendak syarak dan prinsip-prinsip ajaran Islam, beberapa langkah penstukturan semula institusi-institusi kewangan Islam perlulah dilaksanakan. Ini bagi memastikan kesilapan dan kekeliruan yang berlaku dalam system perbankan Islam yang ada sekarang dapat dibendung dan diatasi. Sistem perbankan Islam dan produk-produk kewangan Islam yang ada pada masa ini tersasar jauh daripada matlamat, falsafah, prinsip dan nilai-nilai dalam ajaran Islam. Ini sebenarnya merugikan umat Islam khususnya dan rakyat amnya.
Ada beberapa langkah tertentu yang dianggap penting untuk diambil kira dan dilaksanakan bagi mencapai objektif, falsafah, prinsip dan nilai-nilai yang menjadi criteria penting dalam ekonomi dan kewangan Islam.
Langkah pertama, sebuah Baitul-Mal Nasional perlulah ditubuhkan. Ini untuk menyatukan segala aset-aset umat Islam, pengurusan dan pentadbiran serta menyelaraskan operasi semua baitul-mal dan institusi-institusi kewangan Islam diperingkat nasional dan negeri-negeri.
Langkah kedua adalah untuk mengintegrasikan dan mengkonsolidasikan semua institusi-institusi kewangan Islam agar kesemuanya berada dibawah kepemilikkan dan pengawasan Baitul-Mal Nasional. Ini termasuk Bank-bank Islam, syarikat-syarikat Takaful, Tabung Haji, asset-aset wakaf dan pajak gadai-pajak gadai Islam.
Langkah ketiga—sistem kewangan ini juga haruslah menggunakan ‘dinar emas’ sebagai matawang tunggalnya agar ianya benar-benar memenuhi tuntutan syariah dan ajaran Islam.
Langkah keempat pula adalah dengan memperluaskan lagi peranan mahkamah syariah. Mahkamah syariah harus berupaya menjadi tempat untuk mencari keadilan sekiranya berlaku pertikaian dalam amalan yang berkaitan dengan muamalat dan kewangan Islam.
Kita sedar akan masalah dan halangan-halangan yang bakal dihadapi untuk melaksanakan system tersebut. Terutamanya dari segi perundangan dan juga penyeragaman pentadbiran. Ini kerana pentadbiran institusi-institusi Islam pada masa ini berada dibawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri-negeri dan diketuai oleh DYMM Sultan dan para Gubenor.
Walau apapun masalah dan halangan yang bakal dihadapi, usaha untuk mewujudkan sebuah system kewangan model baru yang terpisah dan berbeza sama sekali serta tidak terpengaruh dengan amalan sistem yang sedia ada perlu dimulai. Inilah satu-satunya jalan keluar dari kemelut ekonomi yang bakal menimpa. Kita tak punya pilihan.

No comments: