Monday, May 24, 2010

Nota Buat PM

Nota Buat PM

Nota ini saya tujukan khas buat YAB Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi serta para pembaca budiman yang sedang tercari-cari jawapan kepada masalah ekonomi yang sedang melanda dunia pada hari ini.
YAB Dato Seri,
Saya Mohd Ramalan Yunus, Pengerusi World Islamic Charmber of Commerce (sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dibentuk khusus untuk menjadi regulator dan promoter kepada sistem ekonomi dan kewangan Islam) merasa terpanggil untuk memberi reaksi terhadap saranan YAB Dato’ Seri dalam ucaptama Dato Seri di Persidangan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada hari Rabu 19 Mei 2010.
Merujuk kepada ucaptama tersebut, Dato Seri telah menyarankan bahawa Negara-negara Islam perlu mewujudkan satu model baru ekonomi bagi memenuhi keperluan umat Islam sedunia dan meneruskan peranan untuk terus membangunkan, mengembangkan dan mempromosi sistem perbankan Islam keseluruh dunia kerana ia merupakan teras kepada masa depan Negara-negara Islam.
Bagi pihak WICC, kami mengalu-alukan dan menyokong penuh saranan tersebut. Ini kerana kami merasakan bahawa saranan tersebut dilontarkan tepat pada masa yang sesuai. Disaat dunia sedang tercari-cari satu formula atau pun alternatif baru kepada sistem ekonomi yang sedia ada. Sebagaimana yang telah diketahui umum, sistem kapitalis yang dianuti sekarang telah terbukti gagal dalam membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada dunia. Sistem tersebut telah gagal dari semua dimensi. Baik dari segi kewangan, sosial mahu pun alam sekitar.
Kalau kita melihat dan menilai semula pengalaman Jepun yang lebih dahulu dilanda krisis kewangan yang hampir serupa dengan apa yang sedang dilalui di Amerika dan Eropah sejak tahun 1989 sehingga kini (sudah 20 tahun) masih belum pulih sepenuhnya. Sedangkan sewaktu Jepun melalui krisis tersebut, Amerika dan Eropah sedang berada dikemuncak kemakmuran ekonomi mereka. Diwaktu, dimana Amerika dan Eropah masih mampu menghulurkan bantuan dan menyediakan pasaran yang besar buat Jepun. Bayangkan apakah yang bakal terjadi sedangkan kini Amerika dan Eropah sendiri yang sedang melalui krisis yang sama. Apakah dunia mampu pulih dalam tempoh 100 tahun akan datang ?
Inilah persoalan besar yang menghantui semua pemimpin-pemimpin Negara, dan semua pakar-pakar ekonomi dan kewangan dunia.
Menurut pendapat kami, dunia sendiri secara keseluruhannya memerlukan satu model baru ekonomi yang benar-benar mampu membawa kesejahteraan kepada seluruh warganya bukan sekadar memenuhi keperluan umat Islam walaupun kita sedar bahawa umat Islamlah yang sebenarnya lebih memerlukan mekanisma baru tersebut bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah.
WICC merasakan bahawa model baru ekonomi yang ingin dibentuk haruslah berlandaskan kepada syariah dan kehendak Islam dan secara menyeluruh. Baik dari segi matlamat, falsafah, prinsip dan perlaksanaannya. Dalam usaha kearah membentuk model baru ini, ada beberapa isu pokok yang perlu dititik beratkan. Isu seperti pembentukkan satu system kewangan baru yang benar-benar bebas riba haruslah menjadi keutamaan. Sistem kewangan tersebut bukan hanya bebas riba malah ianya juga harus mendokong matlamat, falsafah dan prinsip-prinsipnya serta berkeupayaan untuk menterjemahkannya secara praktik bagi mempastikan kejayaannya.
Sistem kewangan yang menyeluruh dan bebas riba yang benar-benar mematuhi dan memenuhi lunas-lunas kehendak syariah Islam hendaklah dibentuk sebagai langkah pertama dalam pembentukkan model baru ekonomi alternatif. Ianya bukan sekadar membangun dan mengembangkan sistem perbankan Islam sebagaimana yang berlaku pada pada waktu ini. Ini kerana system perbankan Islam yang sedia ada dan produk-produk yang telah dibangunkan masih jauh dari memenuhi kehendak syariah. Apatah lagi untuk mencapai matlamatnya.
Untuk mencapai matlamat yang berbeza, model dan system yang ingin dibangunkan juga harus menggunakan orientasi dan kaedah yang berbeza. Apa yang berlaku sekarang, orientasi dan kaedahnya tetap sama cuma jenamanya yang berbeza. Sudah pasti ianya tidak akan membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Kekeliruan ini sekiranya tidak ditangani dengan baik dan diselesaikan dengan bijaksana, ianya akan mengundang masalah dan bencana yang lebih besar lagi dimasa akan datang.
Riba, sebagaimana yang diterangkan dalam Islam, adalah merupakan punca utama kepada segala kebobrokkan dan kebejatan yang berlaku dalam sistem ekonomi dan kewangan pada masa kini. Persoalan mengenai riba ini, ianya bukan hanya diharamkan didalam Islam malahan juga oleh agama Kristian dan Yahudi. Jadi sudah sewajarnya ianya tidak harus dibenarkan penggunaannya dalam sistem ekonomi dan kewangan model baru yang ingin dibentuk.
Penggunaan matawang tunggal juga perlu diberi perhatian yang khusus. Ini kerana penggunaan multi currency atau matawang pelbagai hanya mengundang lebih banyak masalah dan krisis. Ianya juga dapat mengelakkan berlakunya perdagangan matawang yang menyebabkan berlakunya susut nilai akibat aktiviti penawaran dan permintaan di pasaran.
Pendidikan juga harus seiring dengan pembentukkan model baru tersebut. Pemupukan kesedaran dan kefahaman disemua peringkat adalah amat penting. Ini kerana pada akhirnya merekalah yang akan menjadi pengguna dan penerima kepada model dan sistem tersebut. Mereka harus yakin dan menjadi penganut kepada sistem tersebut bukan sekadar menjadi pengikut.
Untuk makluman Dato Seri, langkah awal kearah pembentukkan model ekonomi dan kewangan baru telah pun dimulai dengan tertubuhnya Dewan Perdagangan Islam Dunia (WICC) dan Baitul-Mal Dunia (WBI) pada pertengahan tahun 2009. Walaupun kwujudannya masih belum disedari dan dirasai oleh banyak pihak namun yang lebih penting disini adalah usaha dan komitmen kearah merealisasikan impian dan cita-cita untuk membangunkan sebuah sistem yang mampu mensejahterakan warga dunia sudah pun bermula.
Benar, sebagaimana kata Dato Seri, OIC harus memainkan peranan yang besar dalam usaha ini. OIC juga harus menyokong dan mendokong penuh usaha-usaha seperti ini. Malahan sebenarnya bukan sekadar OIC tapi seluruh organisasi, institusi dan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan Negara harus melibatkan diri dalam usaha tersebut. Ini kerana masalah-masalah yang sedang dihadapi kini bukan hanya masalah umat Islam bahkan masalah seluruh warga dunia.
WICC ditubuhkan sebagai sebuah badan dunia yang diharapkan akan dapat diiktiraf dan dapat berperanan sebagai hisbah atau pun regulator dalam sistem ekonomi dan pasaran Islam. Inilah objektif utama penubuhannya. Ini kerana Islam menolak konsep pasaran bebas atau pun ‘un-regulated market’. Ini bagi memastikan tidak berlakunya monopoli dan manipulasi dalam pasaran. Serta ianya juga dapat mengurangkan berlakunya ekploitasi yang keterlaluan dalam pasaran.
WICC juga dimasa akan datang diharap dapat mewujudksn sebuah institusi yang dapat dijadikan platfom oleh para pengguna dan pemain dipasaran untuk mencari dan mendapatkan keadilan sekiranya berlaku perselisihan dan pertikaian dalam menjalankan aktiviti urusniaga dipasaran.
Manakala Baitul-Mal Dunia (WBI) pula akan perperanan sebagai pusat perbendaharaan, pusat pembikinan dasar dan menjadi pengawas kepada sistem kewangan dan matawang tunggal yang akan digunakan dalam pasaran Islam. Ianya juga akan menjadi platform tunggal dalam sistem kewangan Islam.
Dengan adanya Baitul-Mal Dunia, maka sebuah sistem kewangan yang terangkum akan dapat diwujudkan. Maka akan terwujudlah sebuah sistem kewangan yang mempunyai satu matlamat, satu dasar dan seragam dari segi peraturan dan pelaksanaannya. Ini mampu menjadikan sistem kewangan tersebut lebih terkawal, efektif dan efisien.
Dengan tertubuhnya dua institusi tersebut pada waktu ini, langkah-langkah awal untuk mewujudkan sebuah model baru ekonomi dan kewangan akan dapat dilaksanakan.
Harapan kami, kami ingin menawarkan diri untuk terlibat sama dalam membantu usaha Dato Seri kearah merealisasikan pembentukkan satu model baru ekonomi bagi kepentingan dan kesejahteraan bersama.

‘ Teruskan Perjuangan Dato Seri ! ‘

No comments: