Sunday, May 2, 2010

PDRM OH ! PDRM

PDRM OH ! PDRM


Apa yang boleh kita katakan mengenai kejadian yang menimpa adik Aminulrashid Amzah. Seorang kanak-kanak yang baru meningkat remaja berusia 15 tahun telah ditembak mati oleh polis di seksyen 11, shah alam pada pagi Isnin 26 April 2010. Tragis dan memilukan ! Itu saja. Satu kejadian yang disifatkan sebagai satu kesalahan trafik oleh seorang remaja berakhir dengan kejadian tembakkan dari pihak polis dan telah menjadi penyebab kepada kematiannya.

Apa yang menarik, belum pun sempat penyiasatan dibuat secara terperinci dan menyeluruh, Datuk Khalid, Ketua Polis Selangor dalam kenyataannya kepada pihak media menyatakan bahawa remaja tersebut disyaki ahli kumpulan penyamun dan pihak polis telah menemui senjata berupa parang didalam kereta tersebut.

Menyedari bahawa kejadian tersebut melibatkan seorang kanak-kanak remaja yang masih bersekolah dan menjangkakan bahawa isu tersebut akan menarik perhatian ramai, Kementerian Dalam Negeri telah bertindak pantas melalui Menterinya YB Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein dengan mengumumkan akan menubuhkan sebuah panel khas yang akan diterajui oleh Timbalan Menterinya iaitu Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk memantau penyiasatan kes tersebut agar ianya dijalankan secara adil dan telus.

Juga kehadiran Dato Seri Noh Omar selaku wakil badan Perhubungan UMNO Selangor dan wakil kabinet Dato Seri Najib Tun Rajib kerumah keluarga mangsa nyata berjaya menjadi penawar kesedihan keluarga tersebut dan melegakan banyak pihak.

Syabas kepada kerajaan pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak. Rakyat benar-benar telah didahulukan. Banyak pihak yang merasa gembira dengan perkembangan tersebut.

Ironinya, perkembangan ini dilihat tidak mengembirakan kepimpinan di PDRM. Sekali lagi Datuk Khalid tampil kepada media untuk memberi peringatan kepada semua pihak khususnya ahli-ahli politik agar tidak mensensasikan kejadian tersebut dan mempolitikkan isu tersebut.

Kenapa Datuk Khalid melatah ? Bukankah itu yang seharusnya dilakukan oleh orang-orang politik. Membela rakyat. Memperjuangkan nasib rakyat agar mereka mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya. Kalau tindakan-tindakan tersebut dianggap salah lalu apakah sebenarnya tugas dan peranan orang-orang politik ?

Lebih mengeruhkan lagi keaadaan adalah kenyataan Ketua polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilihat seperti mengugut rakyat bila beliau mengatakan akan memanggil kesemua anggota-anggotanya dari menjalankan tugas sekiranya rakyat mampu melindungi diri mereka sendiri.

Menghairankan ! Kenapa sampai begitu sekali kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan. Tidak ada kah cara yang lebih diplomasi, perkataan-perkataan yang lebih manis dan sikap yang lebih berhemah yang mampu memperlihatkan karisma dan kematangan dalam menanggani sesuatu krisis. Kenapa memilih untuk bersikap angkuh dan bongkak dalam mendepani situasi-situasi seperti ini ? Jadi sekarang siapakah yang sebenarnya yang membuatkan isu ini menjadi semakin sensasi ?

Sebagai sebuah agensi penguatkuasa undang-undang yang berurusan langsung dengan masyarakat seharusnya PDRM lebih peka dengan kehendak dan suara hati rakyat. Alangkah malangnya nasib rakyat di negara ini sekiranya PDRM tidak mampu dan tidak berupaya untuk mendengar suara hati mereka.

Untuk makluman kepimpinan di PDRM, rakyat sebenarnya hanya ingin merasa selamat hidup didalam Negara ini. Dan kepada mereka-mereka yang melakukan kesalahan dan jenayah adililah mereka dan hukumlah mereka dengan cara yang wajar dan setimpal dengan kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh mereka. Jangan sampai ada yang teraniaya dan dizalimi dalam proses tersebut.

Besar sangatkah permintaan mereka ? Sehingga ada waktu-waktunya mereka diperlakukan sepeti orang yang tidak bermaruah, tidak berpelajaran dan tidak tahu mengenai hak-hak mereka sebagai rakyat didalam sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat.

Apabila rakyat menjerit mengatakan bahawa PDRM rasuah, berlagak seperti samseng, melakukan peras ugut, ganas dan sebagainya sudah pasti PDRM melenting. Namun sekiranya kita bersikap terbuka dan berlapang dada, saya pasti mereka ada asas yang kuat untuk bersikap seperti itu. Janganlah cepat melatah. Sebaliknya ambillah semua rungutan, komen dan teguran daripada rakyat itu sebagai cermin untuk menilai diri dalam proses transformasi untuk sebuah organisasi yang lebih dihormati dan disegani dimasa yang akan dating. Dalam sebuah Negara yang mengamalkan system Demokrasi seharusnya tidak ada satu pun organisasi dan institusi yang kebal dari sebarang komen dan teguran.

Ingatlah, rakyat hari ini semakin celik dan pandai berfikir. Layanilah mereka dengan jiwa yang besar. Contohilah pimpinan Negara iaitu Dato Seri Najib Tun Razak. Beliau sentiasa kelihatan tenang, ramah, ceria dan bertenaga. Beliau berupaya memperagakan diri beliau dengan gaya yang cukup menarik dan menawan apabila berhadapan dengan media dan sewaktu tampil didepan rakyat. Tutur kata dan bahasa yang digunakan cukup menyenangkan. Beliau sentiasa berada dibawah kawalan diri yang cukup baik walaupun kita semua tahu bahawa beliau sedang diuji dengan cabaran yang cukup besar dalam semua dimensi.

Jangan dicabar kesabaran rakyat. Dalam system Demokrasi kuasa rakyat menentukan segalanya. Apalah sangat kuasa yang ada pada PDRM jika dibandingkan dengan kuasa rakyat. PDRM hanyalah sebuah agensi kerajaan. PDRM hanya salah satu agensi dibawah kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang pertanggung-jawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang dengan tugas hakiki untuk melakukan pencegahan jenayah.

PDRM bukan kerajaan. Hanya merupakan salah sebuah agensi yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan mendokong hala tuju yang sudah ditentukan oleh kerajaan. PDRM harus lebih bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan teguran dari semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin kerajaan. Ini bagi mempastikan PDRM sentiasa berada pada landasannya yang sebenar dalam melaksanakan tugas dan tanggung-jawabnya dan tidak menyalahgunakan kuasa yang sudah diamanahkan kepada mereka.

3 comments:

Anonymous said...

Syabas kepada En Ramalan! Seorang yang berani menyuarakan ketidakbenaran.
Don't fight for the cause, fight for the case
Pendapat saya, ini berlaku sebab im$n yang semakin menipis dan nafsu yang semakin menebal

zainal abidin awang kechik said...

LAYAK GANTI IGP

Anonymous said...

Salam semua
Jangan hanya sekadar satu kes ini dijadikan ukuran kepada keseluruhan kaki dan tangan PDRM.. disebalik kejadian yang berlaku, tiada siapa pun yang tahu kedudukan dan cerita yang sebenar?? kita hanya mampu menilai dan mentafsir orang begitu dan begini..cuba kita renungkan, sekiranya kita berada dalam kasut yang amat berbau masam..apakah kita akan lakukan? Adakah kita akan berada dengan tenang atau pun kita akan bertindak dengan melakukan sesuatu?

Biarlah kes ini dibicarakan di Kamar Mahkamah yang mulia, pengadilan ada di sana. Sebelum apa-apa keputusan dibuat, tidak adad sesiapun yang layak untuk berbahas tentang isu ini.

Untuk renungan..