Friday, December 2, 2011

Wasatiyyah Dari Kaca Mata WICC

Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Dato Seri Najib meneruskan trend ataupun tradisi sebagaimana pimpinan-pimpinan yang terdahulu dalam menerapkan unsur-unsur yang bersifat Islamik dalam pentadbiran kerajaan. Manhaj ataupun kaedah atau juga pendekatan yang berunsur Islamik diperkenalkan. Kali ini Konsep Wasatiyyah pula dipilih dan mula diperkenalkan kepada rakyat.

Sewaktu dizaman Tun Mahathir dahulu beliau telah memperkenalkan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau pula telah memperkenalkan Islam Hadhari sebagai langkah untuk menerapkan unsur-unsur yang Islamik dalam pentadbirannya.

Wasat adalah dari bahasa Arab yang membawa maksud kesederhanaan atau pertengahan atau berada ditengah antara dua pihak .

Konsep Wasatiyyah diambil berdasarkan kepada Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat !43 yang menyatakan bahawa umat Islam adalah Ummatan Wasatan yakni umat yang bersederhana dalam segala aspek kehidupan.

WICC menyokong penuh konsep tersebut dan sebarang langkah atau usaha untuk menyedarkan umat untuk hidup dalam kesederhanaan. Ini kerana kesederhanaan adalah merupakan salah satu dasar perjuangan WICC dalam membangunkan sistem kewangan dan ekonomi Islam. Islam mengajar dan menekankan agar penganut-penganutnya sentiasa bersederhana dalam segala hal. Dan kesederhanaan menurut kacamata Islam adalah mengambil sekadar yang perlu dan mengelakkan pembaziran. Mengutamakan keperluan berbanding kemahuan.

Namun perlu diingatkan disini, kesederhanaan yang dituntut dalam Islam adalah berdasarkan kepada Iman dan Taqwa . Bersederhana dengan tujuan untuk mengawal nafsu. Agar nafsu tidak bermaharaja lela. Bukan dengan tujuan untuk meraih pengaruh.

Kesederhanaan adalah Sunnah Rasulullah. Dan kesederhanaan inilah yang menjadi kunci kejayaan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat dalam mengembangkan dakwah dan syiar agama Islam. Kehidupan baginda dan keluarga sangatlah sederhana. Walaupun baginda adalah seorang Nabi, Rasul dan juga Khalifah kepada umat Islam, baginda tetap memilih untuk hidup sederhana sebagai seorang hamba Allah bukan sebagai seorang Raja. Biarpun ada Nabi-nabi yang terdahulu seperti Nabi Yusuf, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang hidup sebagai seorang Raja yang penuh dengan segala kemegahan dan kemewahan.

Begitu juga dengan Khulafa ur Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Mereka memilih untuk mencontohi kehidupan yang dijalani oleh Rasulullah SAW, Hidup dengan cara yang sederhana.

Konsep Watasiyyah muncul dalam masa yang tepat. Disaat dunia dan Negara akan melalui zaman kehidupan yang sangat mencabar dan memeritkan akibat krisis ekonomi dan kewangan. Langkah untuk memperkenalkan konsep tersebut ketengah masyarakat adalah merupakan langkah yang bijak dan seharusnya diberikan pujian. Apatah lagi kemunculannya didokong oleh kerajan yang memerintah. Adalah sangat diharapkan ianya berupaya untuk menjadi satu fenomena baru yang akan mewarnai kehidupan masyarakat Malaysia dimasa kini dan akan datang.

Namun persoalan besarnya,,,,dari manakah ianya harus dimulai ? Langkah yang terbaik adalah menurut sebagaimana kata perpatah Kepimpinan Melalui Teladan . Ianya harus dimulai dari peringkat kepimpinan yang paling atas.

Maka soalan seterusnya, sanggupkah kepimpinan yang paling atas seperti Raja-raja Melayu, Perdana Menteri, Timbalannya dan menteri-menteri kabinet serta semua wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan meninggalkan segala kesenangan dan kemewahan yang dinikmati hari ini untuk hidup dalam kesederhanaan ?

Sanggupkah mereka menjalani kehidupan yang sederhana ? Mengambil contoh dalam kontek di Malaysia, kesederhanaan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang serta sebahagian besar pimpinan dalam PAS ?

Inilah isu sebenar mengapa UMNO dan Barisan Nasional semakin hari semakin ditolak rakyat. Pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dilihat menjalani kehidupan mewah dan bermegah-megah. Dan ada sesetengahnya mempamerkan kemewahan yang melampau sehingga menimbulkan rasa meluat dan benci dikalangan rakyat. Ini menimbulkan persepsi yang negatif dikalangan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional. UMNO dan Barisan Nasional mungkin masih bernasib baik dalam pilihanraya ke 13 nanti. Namun bagaimana nasib mereka dalam pilihanraya ke 14 pula ?

Mana kala PAS pula semakin hari semakin diterima oleh orang Melayu. PAS dan UMNO sebenarnya sama sahaja. Kedua-duanya adalah parti politik dalam sistem Demokrasi. Matlamat perjuangan mereka sama iaitu untuk mendapatkan kuasa. Apa yang membezakan mereka hanyalah dari segi kaedah dan orientasi perjuangan. UMNO dengan semangat Nasionalisme Melau/Islam dan PAS dengan semangat Islam.

Resepi dan kunci kejayaan PAS dalam meraih sokongan orang Melayu adalah pada sikap kesederhanaan yang dimiliki oleh Tuan Guru Nik Aziz yang dikagumi ramai. Beliau dilihat berupaya untuk mengekalkan sikap sederhana dalam kehidupannya walau pun sudah menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan selama lebih dari 20 tahun. Kesederhanaan beliau inilah yang telah mengangkat beliau sebagai ikon didalam PAS dan menjadi tunjang kekuatan PAS pada hari ini.

Konsep Watasiyyah juga jika diamalkan mampu mengelakkan pembaziran wang Negara dan mampu mengurangkan perbelanjaan Negara. Pada masa ini, kerajaan dilihat begitu banyak melakukan pembaziran dalam membelanjakan wang Negara. Banyak program-program dan majlis-majlis yang masih bolih dilaksanakan dengan cara yang sederhana untuk mengelak pembaziran. Kita tidak perlu mengamalkan gaya hidup Five Star tetapi memadailah dengan gaya hidup Three Star .

Kita lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat akibat dari mengamalkan gaya hidup Five Star . Mereka terpaksa meningkatkan jumlah pinjaman Negara mereka semata-mata untuk membiayai gaya hidup yang mewah. Kini mereka mempunyai jumlah hutang yang melebihi USD 15 Trillion . Jumlah hutang yang cukup besar sehingga diragukan kemampuan mereka untuk membayar balik hutang-hutang mereka. Dan ini mengakibatkan Credit Rating Negara mereka diturunkan.

Begitu juga dengan apa yang sedang berlaku di negara-negara Eropah. Krisis kewangan yang sedang melanda Negara-negara tersebut adalah berpunca dari mengamalkan gaya hidup mewah. Hutang mereka bertimbun kerana membiayai gaya hidup mewah mereka.
Ingatlah ! Sejarah banyak mengajar kita bahawa banyak Empayar yang tumbang sewaktu mereka berada dikemuncak pembangunan materi dan fizikal. Mereka tumbang dikala sedang mengecapi kemewahan.

Tidak salah menjadi sebuah Negara membangun dan maju. Yang salahnya bila pembangunan dan kemajuan diukur dari segi materi dan fizikal. Belum terlambat untuk kita kembali kepangkal jalan. Kembali kepada Allah dan RasulNya. Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Kembali menjadi umat yang beriman dan bertaqwa.

No comments: