Tuesday, December 13, 2011

Agenda Baru Bangsa Melayu

Pada hari Selasa, 13 Disember 2011, bersamaan dengan 17 Muharam 1433 Hijrah, dengan limpahan rahmat dan kurniaan dari Allah SWT, maka mashurlah sudah ke seantero dunia akan perihal pertabalan dan perishtiharan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke 14 mengantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin. Termeterilah sudah satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah moden bangsa Melayu dan Malaysia.

Pertabalan Tuanku Abdul Halim buat kali yang kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong membawa mesej yang signifikan kepada bangsa melayu dan seluruh umat Islam. Apatah lagi istiadat pertabalan diadakan di Istana Negara yang baru dibina.. Sesungguhnya sejarah yang dirakam pada kali ini adalah sesuatu yang diluar kebiasaan. Adalah wajar dan menarik ianya diberikan perhatian dan penilaian yang berbeza.

Menurut pendapat dan pandangan dari kacamata saya, detik bersejarah yang dirakam pada kali ini adalah menjadi petunjuk yang menandakan bermulanya zaman kebangkitan Islam buat kali yang kedua. Sepertimana kedudukan Tuanku Abdul Halim yang ditabalkan buat kali yang kedua. Kebetulan saat dan ketikanya amat sesuai dengan era kebangkitan dari Timur sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh Nabi Muhamad Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu.

Peristiwa ini merupakan isyarat, petunjuk atau pun qias yang seharusnya difahami oleh seluruh umat Islam yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Isyarat yang seharusnya difahami dan diterjemahkan sebaik mungkin agar kita semua dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT.

Dalam displin ilmu, sebagai umat Islam yang beriman, sumber rujukan kita adalah Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijmak.

Qias disini membawa maksud isyarat dari alam dan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku disekeliling kita. Bukankah segala-galanya itu berlaku tanpa sia-sia dan mengandungi ilmu dan hikmah kepada mereka-mereka yang beriman dan mahu berfikir.
Manakala Ijmak pula adalah rumusan atau kesimpulan yang diambil berdasarkan isyarat-isyarat atau mesej daripada perubahan alam atau peristiwa yang berlaku untuk persediaan dan tindakan kita.

Sebagai contoh, apabila hari hendak hujan. Apa isyarat dari alam ? Langit mendung, bunyi guruh dan pancaran kilat. Ini fenomena yang biasa berlaku. Dan apakah rumusan atau kesimpulan yang selalunya kita ambil apabila kita melihat segala fenomena itu berlaku ? Kita pasti akan mengangkat pakaian yang ada diampaian sekiranya kita sedang menjemur pakaian atau kita akan menyediakan payung sekiranya kita hendak berjalan kemana-mana.

Dalam kontek pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Yang DiPertuan Agong dalam kontek Raja Berperlembagaan di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan institusi yang tertinggi di Malaysia. Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan pemerintah tertinggi dan ketua agama Islam di Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menanggani sebarang ancaman bersama semua pihak berkuasa sedia ada. Yang di-Pertuan Agong merupakan payung yang menaungi umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

Sebarang peristiwa dan perubahan yang berlaku yang berkaitan dengan institusi yang tertinggi buat umat Islam dan negara Malaysia pasti membawa isyarat yang besar. Apatah lagi peristiwa itu berlaku dalam keadaan Negara sedang menghadapi cabaran besar sama ada dalam bidang politik mahupun ekonomi.

Pertabalan Tuanku Abdul Halim buat kali kedua adalah merupakan isyarat besar kebangkitan Islam dari Timur. Kebangkitan dari Timur yang diramalkan akan dipimpin oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayulah yang diramalkan akan bangkit untuk menerajui dan memimpin perubahan yang sedang melanda dunia. Sama ada didunia umat Islam mahupun didunia bukan umat Islam. Kedua-duanya sedang bergolak.

Didunia umat Islam pergolakannya adalah pergolakan politik. Seperti mana yang terlihat berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syiria dan Bahrain. Krisis politik yang membawa tumbangnya beberapa regim yang memerintah. Regim yang selama ini dianggap kuat dan gagah akhirnya tumbang dengan kebangkitan rakyat.
Sementara didunia umat bukan Islam pula pergolakan yang berlaku adalah akibat dari krisis ekonomi dan kewangan yang semakin hari semakin parah. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat dan Negara-negara Eropah.

Tidak cukup dengan pergolakan politik dan krisis ekonomi, dunia dilanda pula dengan bermacam-macam bencana alam seperti tsunami, banjir, angin puting beliung dan gempa bumi dimerata tempat. Sesungguhnya dunia memang sedang mengalami perubahan.
Ada yang percaya dunia sedang diambang perang dunia ketiga dan ada juga yang percaya dunia sedang menuju kepada hari kiamat. Berbagai-bagai ramalan dan pendapat yang dibuat. Namun yang pastinya dunia sedang menghadapi perubahan. Baik dari segi politik, ekonomi mahu pun alam sekitar. Sama ada perubahan ini sedang menuju kearah yang lebih baik atau sedang menuju kehancuran hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.
Persoalannya, apakah kita hanya sekadar menyaksikan saja segala perubahan dan pergolakan yang sedang berlaku ini ? Apakah hanya sekadar berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa ? Wajarkah sikap yang sedemikian ? Atau kita harus bangkit dan bangun untuk berbuat sesuatu demi kesejahteraan semua ?

Jawapannya ada pada kita semua. Tepuk dada tanya selera. Kita sudah tidak boleh lagi menyandarkan segala harapan kepada pemimpin politik, ulamak-ulamak atau tokoh-tokoh korporat sedia ada. Mereka terlalu sibuk memikirkan kepentingan masing-masing. Mabuk dengan segala macam nikmat dunia yang sedang mereka kecapi sekarang. Masing-masing sedang tenggelam dalam khayalan dunia ciptaan mereka masing-masing.

Kita semua perlu bangkit terutamanya bangsa Melayu dan umat dari Timur. Sudah ditakdirkan kitalah yang perlu bangun untuk memimpin kebangkitan dari Timur. Menerajui perubahan kearah kesejahteraan sejagat. Dunia perlukan kepimpinan baru. Kepimpinan dari Timur.

Sejarah moden telah membuktikan bahawa kepimpinan dari barat telah gagal. Kepimpinan dari barat hanya membawa kepada perpecahan dan segala macam krisis. Fahaman-fahaman atau isme-isme serta sistem yang dibawa oleh mereka sudah terbukti gagal. Mereka tidak mampu menyediakan sebuah dunia yang aman dan sejahtera buat seluruh warganya.
Seluruh warga dunia sepatutnya sudah sedar bahawa kita semua adalah manusia bukan haiwan ujikaji dimakmal. Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita menjadi bahan ujikaji dengan segala fahaman atau isme-isme yang mengelirukan kita. Yang hanya akan menjadikan kita seperti haiwan yang buas dan ganas diatas muka bumi ini.

Kita juga perlu sedar bagaimana sekulerisme, nasionalisme, patriotisme, demokrasi, kapitalisme dan berbagai isme lagi yang telah menyebabkan kita semua berpecah belah dan memusuhi antara satu sama lain. Bukankah kita semua bersaudara ? Bukankah kita semua dari bani Adam ? Keturunan Adam dan Hawa. Walau apapun bangsa kita dan warna kulit kita sekarang.

Kalau sudah begitu hakikatnya mengapa kita tidak bolih hidup aman dan harmoni sebagai satu keluarga besar ? Saling sayang menyayangi antara satu sama lain dan saling bekerja sama demi kesejahteraan kita semua.

Dunia bukan medan pertandingan atau perlumbaan. Kita tidak perlu mengalahkan sesiapa atau menyaingi sesiapa. Apa yang ingin kita buktikan dengan mengalahkan orang lain ataupun dengan menyaingi orang lain ? Siapa yang mengajar kita semua tentang semua itu ? Tidakkah kita sedar kita semua sedang diperbodoh-bodohkan ? Dan tidakkah kita sedar bahawa ada pihak yang sedang mengaut keuntungan daripada kebodohan kita itu ?
Pada hakikatnya, dunia adalah tempat untuk kita diuji kesedaran dan keinsafan tentang siapa diri kita yang sebenarnya. Diuji tentang nilai-nilai kemanusian kita. Mengapa kita tidak saling bantu-membantu untuk menjadi sebenar-benar manusia ?

Oleh itu sudah sampai masanya untuk seluruh warga dunia menilai kembali segala fahaman dan sistem yang menjadi amalan pada hari ini. Apa salahnya menoleh ke Timur. Dunia sebelah Timur yang didiami oleh bangsa Melayu, Cina dan India. Dunia yang dihuni oleh lebih daripada 2.5 billion umat. Belahan dunia yang cukup kaya dengan segala macam sumber alam. Kekayaan yang sekiranya mampu ditadbir dan diurus dengan baik mampu membawa kesejahteraan kepada seluruh warga dunia.

Namun apakah model kepimpinan yang terbaik yang mampu membawa dunia kearah perpaduan dan kesejahteraan ? Sekali lagi, apa salahnya kita semua melihat kepada model pemerintahan Islam. Model pemerintahan yang suatu waktu dahulu mampu bertahan selama lebih dari seribu tahun. Kajilah sejarahnya yang panjang itu. Berlapang dadalah dalam membuat kajian dan penilaian. Pemerintahan Islam bukan hanya sekadar untuk umat Islam tetapi untuk seluruh umat manusia.

Apa salahnya menerima kepimpinan Islam sekiranya Islam mampu membawa keadilan, keamanan dan kemakmuran kepada dunia. Bukankah itu impian semua umat manusia ?
Adakah lagi model pemerintahan yang komprehensif dan sesempurna Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Baik dari segi politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya. Islam terbukti tidak pernah menolak kemajuan. Ilmu sains dan teknologi berkembang pesat dalam pemerintahan Islam. Lihatlah kesan-kesan peninggalan sejarah Islam. Apakah ini semua tidak cukup membuktikan bahawa Islam lebih baik daripada semua fahaman dan model-model pemerintahan yang sedia ada ?

Kepada seluruh warga dunia, sekali lagi bukalah minda dan berlapang dadalah terhadap Islam. Berikanlah penilaian yang adil terhadap Islam. Kenalilah Islam sebagaimana kamu mengenali diri kamu sendiri. Islam tidak pernah membeza-bezakan kamu. Tidak pernah membeza-bezakan kaum atau bangsa mahu pun warna kulit. Terimalah Islam kerana hanya Islam yang mampu membawa keadilan dan kesejahteran sejagat.

Kepada seluruh umat Melayu, kamulah sebaik-baik umat yang mampu menegakkan kembali syiar kegemilangan Islam. Kamulah bangsa yang dianugerahi dengan ketinggian pekerti, kelembutan, kesabaran dan kebijaksanaan untuk membawa kebenaran dan keadilan Islam keseluruh dunia dengan kasih sayang. Janganlah kamu khianati amanah ini. Ini amanah yang terpikul dibahu kamu semenjak azali andai kamu mengerti. Kembalilah kepada Allah dan RasulNya. Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah agar kamu tidak terpesong terus dari jalan yang diredhaiNya.

Sedarlah wahai bangsa Melayu bahawa masanya sudah tiba. Bangkitlah ! Inilah agenda baru perjuangan kamu. Tinggalkanlah segala perjuangan yang sia-sia. Kembalilah kepangkal jalan. Berjuanglah untuk menegakkan kembali Daulah Islamiyah. Bangkitlah dari tidurmu yang panjang. Dunia perlu kepada kepimpinanmu. Isyarat perjuangan sudah datang kepada kamu. Sambutlah dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Semoga Allah SWT merahmatimu dan memudahkanmu disepanjang perjalananmu menempuhi cabaran yang dimasa hadapan.

No comments: