Sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog ini. Walaupun keinginan untuk menulis itu masih kuat tetapi rasa malas tidak dapat saya atasi. Saya juga tidak tahu mengapa. Mungkin kerana motivasi diri saya agak menurun atas beberapa perkara yang berlaku ke atas diri saya. Apa pun Perhimpunan sejuta umat yang berlansung di Stadium Shah Alam pada 22hb Okt 2011 menarik perhatian saya. Dan ini menyebabkan saya terasa ingin menulis kembali. Mungkin kerana isu yang tampil cukup dekat dengan hati saya, iaitu soal aqidah umat Islam hari ini.
Saya berharap perhimpunan sejuta umat ini bukanlah yang pertama dan terakhir. Biarlah ia menjadi satu permulaan. Langkah pertama yang menjadi pemangkin untuk mengembleng kesatuan umat bagi mencapai visi akhir zaman. Kebangkitan Islam dari Timur sebagaimana yang telah disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad Rasulullah SAW. Usaha ini penting bagi mengerakkan dan menyedarkan umat kearah pemurnian aqidah. Bukan sekadar menanggani isu murtad semata-mata.
Isu murtad bukanlah masalah besar kerana ianya terang dan nyata. Masalah yang lebih besar adalah kejahilan umat dalam memahami dan melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri. Tanpa sedar kita telah menolak Islam dari kehidupan kita. Baik dalam politik, ekonomi mahupun sosial.
Islam agama wahyu. Dalilnya kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Bukan idealogi manusia. Dengan menerima sekulerisme, demokrasi, capitalisme dan segala macam isme-isme yang lain sebagai cara hidup, kita telah menjerumuskan diri kita didalam kesesatan. Lebih dahsyat lagi kita telah terkeluar dari aqidah Islamiyah tanpa kita sedari. Mohon diampuni Allah segala dosa-dosa kita, kesilapan kita dan kelemahan kita.
Kita dilahirkan kedunia sebagai khalifah Allah. Dan akan dipertanggung-jawabkan diakhirat nanti akan segala amal dan perbuatan kita didunia ini dalam melaksanakan tugas hakiki kita sebagai khalifah Allah.
Sebagai khalifah, kita punya dua peranan yang besar. Yang pertama berdakwah untuk menyebarkan agama Allah dan yang kedua berjihad untuk mempertahankan agama Allah.
Kita dibekalkan dengan Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan kita dalam melaksanakan tugas-tugas kita sebagai khalifah Allah untuk merealisasikan ‘ Amar Ma’aruf Nahi Mungkar ‘ demi kesejahteraan umat didunia dan untuk mendapatkan keredhaan Illahi.
Semenjak kejatuhan Empayar Uthmaniah di Turki pada 1923, umat Islam diseluruh dunia seperti anak ayam kehilangan emak. Bertaburan tanpa arah. Berpecah-belah. Walaupun bertambah ramai tapi makin hari semakin lemah. Semakin hari semakin terpesong jauh dari jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Hanyut dibawa arus dunia. Tenggelam dalam kenikmatan dunia yang sementara yang sememangnya dicipta oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan umat Islam.
Kita tidak bolih menyandarkan masa depan umat kepada pemimpin-pemimpin politik. Dalam system politik demokrasi yang jadi anutan sekarang, undi adalah segala-galanya. Islam hanya dijadikan alat untuk meraih sokongan umat Islam bagi tujuan untuk mengekalkan kuasa mereka atau ‘ survival ‘ politik mereka.
Amat malang kalau sekiranya kita mempercayai kita mampu membangunkan Islam melalui demokrasi atau pun ekonomi. Islam juga bukan dibangunkan dengan cara memberontak dan menumbangkan regim yang sedia ada sebagaimana yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan selepas ini mungkin di Yaman dan Syria.
Untuk apa kita menukar pemerintah kalau system yang diamalkan tidak ditukar ? Yang kita perlukan bukan peralihan kuasa tetapi perubahan kepemimpinan. Kepemimpinan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rsulullah SAW dan para sahabat.
Islam dibangunkan dengan Iman dan Takwa sebagaimana yang telah sunnahkan. Dengan iman dan takwa lah umat ini akan dapat disatukan. Dan dengan kesatuan itulah yang akan mendatangkan kekuatan dan kehebatan. Hanya dengan iman dan takwa sahajalah pertolongan Allah dapat digapai. Tanpa pertolongan Allah siapalah kita untuk membangkitkan kembali kegemilangan Islam sebagaimana yang telah dikecapi suatu masa dahulu.
Marilah kita kembali kepada Allah. Belajar mengenalNya. Belajar mengingatiNya dan belajar mencintaiNya sebagaimana yang dikehendakiNya. Murnikanlah aqidah kita. Bersihkanlah pemikiran kita dari segala isme-isme ciptaan manusia. Jangan sesekali kita menyekutukan Allah. Tidak ada dosa yang tidak diampunkan oleh Allah kecuali menyekutukanNya.
Tuesday, October 25, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment